
Ketika terbaca satu artikel yang menyebut tentang Shahnon Ahmad sebagai figura kesusasteraan yang melawan, saya kira perkara itu bukan sesuatu yang baru.
Siapa yang tidak kenal akan prinsip pena sasterawan negara yang agung ini? Jika belum, jangan sombong untuk mula mengenali karya-karyanya.
Persoalan kini bukan lagi tentang Shahnon Ahmad, tetapi sasterawan sekarang melawan atau tidak?
Dalam kemelut hari ini, para sasterawan yang mengaku berada di arus perdana tidak pun bersuara. Hanya kelompok sasterawan bebas atau marginal yang kelihatan benar-benar melawan.
Selepas pemergian Shahnon atau lebih gemar menggelar dirinya cikgu, siapa pula yang akan membawa semangat melawan dan kritis dalam sastera?
Jangan salah faham, kita bukan ingin mencari Shahnon Ahmad ke-2, tetapi figura sastera yang terus merakyatkan sastera. Sastera yang membela semua anak bangsa.
Bukan sasterawan ikut musim, kadang muncul, kadang tidak, sehinggakan rakyat pun tidak kenal siapa sasterawan di negara sendiri.
Di mana sasterawan di saat pelarian dan kumpulan migran diherdik, dicaci dan dimaki xenofobik? Di mana suara sastera untuk kemanusiaan?
Di mana sasterawan di saat rakyat keliru dengan siapa pemimpin yang “menang” dan siapa pemimpin “dilantik”? Apa, tiada bezakah frasa itu?
Di mana sasterawan di saat anak-anak flat minum kopi menggantikan susu? Tiadakah yang sudi berbicara demi anak-anak ini?
Kita perlu jalan terus, atau mat salih kata “move on”. Cikgu sudah lakukan peranannya untuk melawan.
Jasanya bukan saja perlu dikenang, namun ia perlu diteruskan. Oleh siapa? Ya, orang sastera lah!
Bukan saja seputar isu rakyat marhaen, isu sastera pun tiada sasterawan yang berbunyi.
Di mana sasterawan di saat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) keliru, sama ada mahu menjadi badan penjaga bahasa atau memperkasa identiti agama?
Di mana sasterawan di saat budaya kebangsaan yang digagaskan pada 1971 belum berhasil, malah jauh dari tujuan asalnya? Tergamakkah sasterawan memandang sepi perkara itu?
Pada 1971, Kongres Kebudayaan Kebangsaan diadakan yang turut disertai seniman P Ramlee dan sejarawan Khoo Kay Kim.
Kongres itu bercita-cita menggubal satu identiti bangsa Malaysia dengan mengambil kira semua kaum dan agama, berdasarkan Rukun Negara yang diperkenalkan selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Situasi-situasi ini membimbangkan, jika dibiarkan ia boleh meragui kredibiliti para sasterawan.
Orang akan mula menyoal, “mereka ini berfungsi ataupun tidak?”
Sampai bila kita mahu kenang karya sastera yang melawan pada satu atau 2 nama saja? Lama-kelamaan, generasi selepas generasi, tiada nama baru yang muncul. Rakyat pun boleh muak dengan nama yang sama.
Seolah-olah tiada lagi yang “hidup” dalam sastera.
Nama Shahnon Ahmad memang tiada tolok bandingnya, beliau kekal menjadi tokoh berprinsip dalam idealisme penulisannya.
Tetapi, ianya malang jika prinsip yang dibawa oleh Cikgu terkubur bersama pada hari kematiannya.
Eh, bukan malang. Ia tragedi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.