Pelanggan JPN perlu buat janji temu untuk urusan dokumen diri

Pelanggan JPN perlu buat janji temu untuk urusan dokumen diri

Pelanggan boleh menghubungi talian pejabat perkhidmatan pelanggan JPN di seluruh negara untuk membuat janji temu.

Semua urus niaga di JPN dibuka mulai 4 Mei lalu secara janji temu pada setiap hari bekerja bermula 8.30 pagi hingga 4 petang.
PUTRAJAYA:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memulakan operasi pejabatnya di seluruh negara secara janji temu bagi membantu orang ramai yang mempunyai urusan dokumen pengenalan diri tertangguh sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

JPN memaklumkan operasi itu dibuka sejak hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kecuali pejabat JPN di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Semua urus niaga di JPN dibuka mulai 4 Mei 2020 secara janji temu pada setiap hari bekerja bermula 8.30 pagi hingga 4 petang. Pelanggan yang ingin berurusan perlu membuat janji temu dengan menghubungi talian pejabat perkhidmatan pelanggan JPN di seluruh negara.

“Perkhidmatan secara janji temu ini diambil bagi memastikan langkah pencegahan penularan Covid-19 dapat dipatuhi, terutamanya dari aspek penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPN berkata, ia menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa pengoperasiannya dalam tempoh PKPB.

Antara langkah kawalan yang diambil ialah mencatatkan maklumat pelanggan yang hadir, mengambil bacaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman serta melaksanakan sanitasi peralatan kaunter dari semasa ke semasa.

Katanya, pemohon yang mendapat janji temu hanya boleh hadir bersendirian untuk berurusan dan mematuhi masa ditetapkan bagi memastikan kehadiran pelanggan di pejabat pada satu-satu masa dapat dikawal serta penjarakan sosial dipatuhi.

Bagi urus niaga seperti permohonan MyKad kanak-kanak 12 tahun atau upacara perkahwinan yang memerlukan lebih daripada seorang individu hadir, pemohon dinasihatkan hadir dengan jumlah sangat minimum.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terus hadir ke pejabat JPN tanpa janji temu kerana tiada jaminan perkhidmatan dapat diberikan kerana tertakluk kepada kekosongan slot janji temu.

“Sekiranya urusan tidak mustahak dan boleh ditangguhkan, pemohon dinasihatkan hadir ke pejabat JPN selepas PKP tamat.”

JPN berkata, pengumuman kerajaan berkaitan pendaftaran kelahiran boleh dilakukan dalam tempoh 90 hari selepas PKP berakhir dan tiada denda dikenakan masih berkuat kuasa, justeru orang ramai tidak perlu tergesa-gesa mendaftarkan kelahiran.

Maklumat lanjut berhubung perkhidmatan JPN semasa PKPB boleh dirujuk di www.jpn.gov.my atau saluran media sosial rasmi JPN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.