Sofa panggung wayang rosak teruk gara-gara lama tak operasi

Keadaan sofa yang berkulat teruk disebabkan cuaca lembap dan tiada pendingin hawa. ( Gambar Facebook)

Pembukaan semula operasi perniagaan dan pusat membeli-belah dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini menyaksikan banyak aduan yang diterima melibatkan kerosakan barang jualan di kedai.

Panggung wayang juga menerima nasib yang sama akibat penutupan operasi setelah hampir 2 bulan.

Jika sebelum ini tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan barangan di sebuah pusat membeli-belah yang rosak teruk gara-gara hampir 2 bulan tidak beroperasi akibat wabak Covid-19.

Terbaru, laman Facebook Malaysia Atrium Sale berkongsi gambar sebuah panggung wayang yang menerima nasib yang sama apabila kerusi sofa mereka berkulapuk.

Bukan sahaja sofa malah karpet juga berkulat. (Gambar Facebook)

Gambar dalam panggung wayang yang tular di media sosial menunjukkan kerusi dan lantai dalam panggung wayang rata-ratanya rosak ditumbuhi kulat.

Ia mungkin disebabkan 2 bulan pendingin hawa tidak dipasang dan udara lembab di dalam panggung wayang menyebabkan kulat tumbuh secara aktif.

Tidak dapat dipastikan lokasi panggung wayang tersebut, namun kulat yang tumbuh di bahagian kerusi dan lantai, hampir sama dengan kulat yang tumbuh pada aksesori barangan kulit yang dikongsikan sebelum ini.

Pihak syarikat yang mengendalikan panggung wayang akan menghadapi sedikit tekanan dari segi kos dan masa untuk memulihkan kembali keadaan panggung wayang seperti sedia kala.

Berhubung penyebaran gambar barangan kulit yang dijangkiti kulat sebelum ini, kumpulan The MUI yang menguruskan Metrojaya Suria Sabah, Kota Kinabalu terpaksa mengambil tindakan untuk membuang barang kulit yang telah rosak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]