Tempat duduk Dewan Rakyat akan disusun semula selepas aduan ahli Parlimen

Susunan tempat duduk di dalam Dewan Rakyat hari ini menunjukkan 114 ahli Parlimen di pihak kerajaan, 107 di blok pembangkang dan seorang lagi wakil rakyat bebas.

PETALING JAYA: Pembahagian tempat duduk untuk ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat menimbulkan kekeliruan buat seketika berhubung fahaman politik, tetapi seorang pegawai berkata penyusunan tempat duduk dibuat berdasarkan maklumat yang diberikan parti politik.

Pegawai itu yang tidak boleh dinamakan berkata, penyusunan baru tempat duduk akan dibuat untuk sidang pada Julai nanti dan salah faham atau aduan akan diteliti.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dilapor menafikan fahaman politiknya bertukar selepas beliau ditempatkan dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional dalam sidang sehari Dewan Rakyat hari ini.

Masir, ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu, dipetik sebagai berkata, PSB masih parti pembangkang.

Beliau sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai kerajaan Pakatan Harapan sebelum ia tumbang pada Februari lalu.

Pegawai itu berkata, Sekretariat Parlimen biasanya memaparkan susunan tempat duduk di pintu masuk lobi berdasarkan maklumat diberikan parti ahli Parlimen.

Hari ini, penyusunan tempat duduk menunjukkan terdapat 114 penyokong kerajaan daripada 222 kerusi dalam Dewan Rakyat, manakala 107 lagi di blok pembangkang.

Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian yang juga bekas ketua PKR Sarawak, ialah satu-satunya ahli Parlimen bebas dalam Dewan Rakyat.

Selepas kerajaan PH tumbang, beliau antara wakil rakyat yang menyokong kerajaan baru PN, tetapi beliau mengubah pendiriannya kemudian.

Mereka yang duduk di barisan depan blok pembangkang ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim (Port Dickson), Mujahid Yusof Rawa daripada Amanah (Parit Buntar), Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Kota Raja), Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Bagan), Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR (Pandan) dan veteran DAP, Lim Kit Siang (Iskandar Puteri).