Riza mungkin jadi saksi terhadap Najib dalam kes 1MDB

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB hari ini memberi isyarat Riza Aziz mungkin memberi keterangan terhadap Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Najib Razak berkaitan 1MDB hari ini memberi isyarat anak tirinya, Riza Aziz mungkin seorang saksi yang akan memberi keterangan terhadap bekas perdana menteri itu.

“Ada perkembangan terbaru. Kami ada maklumat Riza mungkin dimasukkan dalam senarai saksi,” kata pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata Riza juga menunjukkan dia sedia memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.

“Kami mungkin perlu ubah senarai saksi pendakwaan,” tambahnya.

Mahkamah Sesyen baru-baru ini membenarkan Riza Aziz dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 5 tuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Sri Ram berkata ia tertakluk kepada penerbit Hollywood itu memenuhi perjanjiannya dengan pihak pendakwaan.

Beliau berkata suatu persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh, yang akan menyaksikan jutaan ringgit dipulangkan kepada kerajaan.

Keputusan itu mengundang pertikaian melibatkan bekas peguam negara, Tommy Thomas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Peguam Negara Idrus Harun.

Najib berdepan 4 tuduhan salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan wang yang dikaitkan dengan 1MDB berjumlah RM2.3 bilion, serta 21 tuduhan pengubahan wang melibatkan wang sama.

Setakat ini 8 saksi sudah memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula Ogos lepas.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi ke-9 pihak pendakwaan, iaitu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Azral Ibrahim Halmi.

Perbicaraan akan bersambung selepas rehat 6 bulan dan beberapa penangguhan kerana perintah kawalan pergerakan.