Serah dokumen kepada PM, speaker, AGC beritahu peguam cabar sidang Parlimen 18 Mei

Persidangan 1 hari Dewan Rakyat pada 18 Mei dibantah oleh pembangkang yang mahu ia diadakan selama beberapa hari.

PETALING JAYA: Pejabat Peguam Negara (AGC) enggan menerima kertas mahkamah yang ditujukan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff dalam satu saman yang mencabar keesahan persidangan Parlimen pada 18 Mei lepas.

Sebaliknya, peguam T Gunaseelan diberitahu supaya menyerahkan dokumen berkenaan secara langsung kepada 2 defendan terbabit.

“Peraturan mahkamah membenarkan ia disampaikan menerusi pos berdaftar. Pelanggan saya kini mengarahkan dokumen itu diserahkan kepada defendan melalui pos,” katanya kepada FMT.

FMT telah melihat kandungan surat tersebut.

Gunaseelan berkata, beliau menyerahkan dokumen itu kepada Muhyiddin melalui AGC pada Isnin, selain bertanya sama ada mereka (AGC) mendapat arahan untuk menerimanya bagi pihak speaker Dewan Rakyat.

Katanya, dalam surat daripada AGC, beliau diberitahu bahawa saman pemula dan affidavit tersebut hendaklah diserahkan secara langsung kepada defendan.

Gunaseelan mewakili peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam.

Minggu lepas mereka memfailkan permohonan bagi mengisytiharkan persidangan Parlimen Isnin lalu adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Mereka mendakwa notis kepada ahli Parlimen bertarikh 13 Mei adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap Dewan Rakyat.

Mereka juga berkata, orang ramai tahu bahawa pihak pembangkang bercadang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, selain mendakwa persidangan 1 hari yang diadakan tidak memenuhi syarat perlembagaan yang menghendaki perbincangan mengenai perkara penting dijalankan, selain daripada Titah Diraja.

Pertikaian itu dijangka didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Nordin Hassan yang menetapkan 1 Jun depan untuk pengurusan kes.