Wong Chen gesa ahli Parlimen PPBM tarik dakwaan bayaran balik GST

Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen (kiri) menuntut ahli Parlimen PPBM, Willie Mongin meminta maaf atas hantaran di Facebooknya.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PPBM Willie Mongin hari ini mendedahkan bahawa beliau menggesa ahli Parlimen Subang Wong Chen dan rakan sejawatnya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya “memberitahu perkara sebenar” mengenai “kehilangan” wang RM19 bilion pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Dalam hantaran Facebook, Mongin berkata, beliau bertanya kepada anggota PAC adakah RM19 bilion itu “benar-benar dicuri” selepas bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mendakwa pada 2018 bahawa wang itu “dirompak” oleh pentadbiran BN sebelum ini.

Mongin, ahli Parlimen Puncak Borneo keluar PKR untuk menyertai PPBM selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata, wang itu tidak “dirompak” oleh Umno atau bekas perdana menteri Najib Razak.

“Wang itu digunakan untuk kegunaan kerajaan dengan laporan yang teratur,” katanya.

Mongin, yang dilantik sebagai ahli PAC pada Ogos 2018 dan disingkirkan 4 bulan kemudian berkat,a beliau menggesa anggota PAC supaya memberitahu perkara sebenar mengenai pembayaran balik GST.

“Tetapi YB Wong Chen memberitahu saya supaya akur dan berkata kepada saya, ‘biar DAP uruskan perkara itu’,” katanya.

Dalam tindak balas segera, Wong Chen menafikan dakwaan itu dan menuntut hantaran itu ditarik semula dan permohonan maaf.

Wong berkata, beliau adalah anggota PAC yang paling kritikal dalam prosiding mengenai pembayaran balik GST yang “hilang” itu.

“Dia patut membaca laporan PAC untuk lebih memahami kedudukan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Mongin berkata, prosiding itu yang direkodkan dalam penyata rasmi (hansard) dan desakannya supaya “bercakap benar” menyebabkan beliau digugurkan sebagai anggota PAC.

Mongin juga berkata, beliau tidak kesal digugurkan daripada jawatankuasa itu “tetapi yang paling saya kesalkan adalah kita dari parti reformasi yang menganjurkan keadilan, dan untuk memerangi kleptokrasi”.

Pada Mei 2018 Lim mendakwa pembayaran balik GST “telah hilang”.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah bagaimanapun menegaskan wang berkenaan tidak hilang sebaliknya dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan kerajaan persekutuan.

Pada Julai tahun lalu, pengerusi PAC ketika itu, Noraini Ahmad berkata, wang itu tidak hilang dan berdasarkan keputusan jawatankuasa itu, wang berkenaan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pengurusan dan pembangunan kerajaan.

Noraini menjelaskan bahawa kerajaan BN menyalurkan wang yang dikumpulkan daripada GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan.