Lagu raya dendangan Dr. Adham Baba dan Sufian Suhaimi pada 2017 kembali tular

Menggunakan irama ala Despacito, lagu raya tersebut masih menggunakan lirik rekaan asal yang disesuaikan dengan sambutan hari raya di negara kita. (Gambar YouTube)

Mungkin ramai yang tidak tahu menteri kesihatan, Dr Adham Baba sebenarnya juga pernah mempunyai lagu raya beliau yang tersendiri bertajuk Tenggara Raya dinyanyikan bersama penyanyi popular tanah air, Sufian Suhaimi.

Lagu raya versi cover yang menggunakan irama pop Despacito yang pernah menjadi kegilaan dunia suatu ketika dahulu itu dirakam pada tahun 2017 ketika beliau masih menjadi pengerusi UniKL.

Walaupun menggunakan irama ala Despacito, namun lagu raya tersebut masih menggunakan lirik rekaan asal yang disesuaikan dengan sambutan hari raya di negara kita.

Ia kembali menjadi siulan atau topik perbualan dalam kalangan netizen.

Memetik laporan media, Dr Adham mengesahkan video tersebut dirakam beberapa tahun lalu dan bukannya pada tahun ini seperti dipertikai sesetengah netizen sebelum ini.

“Itu lama punya lagu, masa 2017. Lagu Despacito, itu waktu saya nyanyi dengan Sufian Suhaimi dan untuk kawasan saya Tenggara.

“Itulah orang pandai-pandai nak keluarkan balik, saya tak ada buat lagu baru pun,” katanya.

Berdurasi 4 minit 7 saat, muzik video yang dimuat naik di channel YouTube UniKl Official itu sehingga kini sudah pun mencatat lebih 25,000 tontonan dengan rata-rata komen memuji keberanian beliau merakamkan lagu tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]