Pekerja minyak, gas terkandas di India dibawa pulang pada Hari Raya

Hotel Sama-Sama menempatkan sebahagian pekerja sektor minyak dan gas yang pulang dari India untuk menjalani kuarantin selama 14 hari. (Gambar Hotel Sama-Sama)

PETALING JAYA: Pekerja minyak dan gas luar pesisir yang terkandas di India berikutan pelaksanaan perintah berkurung kerana Covid-19 dibawa pulang ke tanah air pada hari pertama Hari Raya minggu lalu selepas lebih sebulan menunggu.

Dinesh Bala Krishnan, yang bercakap dengan FMT mengenai keadaan mereka pada awal bulan ini berkata, pelanggan mereka berjaya menyewa penerbangan khas syarikat penerbangan tambang murah India, Spicejet.

Mereka kini menjalani kuarantin wajib 14 hari di Hotel Sama-Sama dan Hotel Hilton sementara menunggu keputusan ujian yang dilakukan di lapangan terbang sebaik mendarat.

Ketika kerajaan menetapkan dasar baru rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini perlu membayar 50% bayaran hotel ketika dikuarantin, tempat tinggal mereka telah dibayar sepenuhnya kerana peraturan berkenaan hanya berkuatkuasa pada Jun.

Pekerja terbabit seramai kira-kira 150 orang, menunggu penerbangan untuk pulang ke tanah air sebaik mendaftarkan nama dan lokasi mereka dengan konsulat Malaysia di Mumbai pada awal April.

Mereka sepatutnya menaiki pesawat dari Mumbai ke Kuala Lumpur pada 10 Mei yang akan membawa pulang rakyat India ke negara itu. Bagaimanapun, ia dibatalkan.

Pekerja berkenaan tinggal selama sebulan di atas kapal sebelum pelanggan mengatur agar mereka menginap di sebuah hotel sementara usaha dilakukan bagi mendapatkan penerbangan lain untuk pulang ke Malaysia.