Sarawak rekod kawasan baru jangkitan rabies

Pemilik haiwan mendapatkan vaksin untuk anjingnya di Kuching susulan wabak rabies menular pada Ogos tahun lalu. (Gambar Bernama)

KUCHING: Sarawak merekodkan kawasan baru jangkitan rabies di Kampung Tian di Matu, Mukah, menjadikan jumlah keseluruhan 64 kawasan sejak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Douglas Uggah Embas berkata 22 daerah di Serian diiktiraf sebagai kawasan jangkitan rabies, 7 di Kuching, 6 di Miri, 5 masing-masing di Sri Aman, Sarikei dan Mukah, 4 masing-masing di Bintulu dan Samarahan, 3 di Betong, 2 di Sibu dan 1 di Kapit.

Bagaimanapun wabak itu terkawal, katanya pada sidang media harian.

Uggah berkata, seorang kanak-kanak berusia 5 tahun digigit anjingnya di Taman Sanhill Barat di Sibu pada Ahad.

“Hasil ujian semalam menunjukkan anjing itu positif rabies,” katanya, sambil menambah kes melibatkan gigitan anjing di Sibu masih tinggi.

Beliau berkata Jabatan Veterinar negeri menerima 1,254 laporan gigitan haiwan dari Januari hingga semalam, 82% daripadanya melibatkan haiwan dengan pemiliknya dan selebihnya haiwan liar.

“Sebilangan besar kes itu disebabkan provokasi,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata tiada kes baru Covid-19 yang dilaporkan di Sarawak hari ini, dengan jumlahnya kekal 552 kes.

Angka kematian akibat virus itu di negeri ini kekal 17 orang.