Haniza Talha lancar NOW selepas digantung dari PKR

Haniza Talha (dua dari kiri) melancarkan penubuhan NOW di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR Haniza Talha yang ketika ini digantung keahliannya oleh parti itu melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru, iaitu Nation of Woman (NOW).

Haniza berkata, keputusan untuk bergerak melalui pertubuhan itu dibuat selepas suara dan penglibatannya dalam parti disekat, selain berperanan sebagai wadah baru untuk ahli PKR yang dipecat.

“Ia adalah pentas untuk wanita bergerak, meneruskan agenda berbakti pada rakyat. Sama ada wanita yang digantung atau dipecat kini boleh terus menyumbang tenaga, buah fikiran dalam pentas NOW.

“Seperti mana yang diketahui, saya digantung dan ini menyebabkan saya gugur jawatan ketua Wanita serta tidak dibenarkan bergerak di bawah sayap Wanita. Ini satu kerugian.

“Kita sebelum ini banyak program sentuhan kepada masyarakat yang boleh dijalankan. Kesinambungan itu boleh diteruskan dalam pentas NOW,” katanya dalam sidang media pelancaran pertubuhan itu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Haniza yang menjawat tugas sebagai exco Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri Selangor, turut menggalas tugas sebagai presiden NOW.

Haniza berkata, beliau berharap penubuhan NOW ini tidak memberi ancaman kepada PKR sehingga pertubuhan itu “diharamkan” oleh parti seperti pertubuhan lain.

“Saya harap NOW tidak beri ancaman sehingga ia ‘diharamkan’ oleh PKR. Hak untuk berpersatuan dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan. Jadi, kita buka keahlian kepada semua pihak merentasi parti.

“Mungkin ada pihak yang berasa agak ganjil. Saya berharap kalau PKR boleh menyokong NGO seperti Jingga 13, ada INVOKE, kita boleh menerima NGO tersebut, begitulah NOW,” katanya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran NOW ialah Timbalan Ketua Wanita PKR Dr Daroyah Alwi, Naib Presiden PKR Tian Chua dan beberapa ahli PKR lain yang dipecat, selain mereka yang meninggalkan parti itu.

Juga hadir ialah bekas ketua penerangan Wanita PKR Syarul Ema Rena Abu Samah yang sebelum ini dipecat parti dan bekas exco Wanita PKR yang keluar parti, Shoba Selvarajoo.

Ketika ditanya apakah pertubuhan yang dilancarkannya ini akan bergabung dengan beberapa pertubuhan lain dikaitkan dengan pemimpin PKR dipecat seperti Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, Haniza berkata “masih tiada dalam perancangan”.

“Saya tidak tahu, tetapi tidak ada dalam perancangan. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Tetapi fokus NOW adalah untuk pembangunan wanita,” katanya.