Jualan durian dalam talian melonjak, kata peniaga

Mire Chai (kiri) dan Jason Koh.

KUALA LUMPUR: Kurang 4 bulan lalu, Jason Koh dan Mire Chai memulakan perniagaan durian tanpa durian. Hari ini, mereka masih memulakan hari mereka tanpa sebiji durian.

Tetapi, jualan durian dalam talian 2 pemilik 4Leaf Durian itu laku sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Koh dan Chai, masing-masing berusia 25 tahun, memulakan perniagaan mereka Februari lalu selepas mendapati wujud jurang antara peniaga durian tradisional dan pasaran dalam talian.

Mereka menjual isi durian yang sudah dikupas, bukannya keseluruhan buah itu kerana ini membolehkan mereka memastikan kualiti buah.

“Jika anda menjual keseluruhan buah, anda mungkin hadapi situasi pembeli tidak puas hati dengan isinya dan mahu menukarnya. Ini tidak praktikal dari segi logistik.”

Mereka mendapatkan bekalan daripada satu rangkaian penjual durian tradisional.

Ketika memulakan perniagaan, mereka menjual hanya sedikit daripada bungkusan 300gm isi durian setiap hari dan kadangkala langsung tiada jualan.

“Sejak PKP, kami menjual antara 70 dan 100 bungkus setiap hari,” kata Koh.

“Pada mulanya kami buat penghantaran sendiri, tetapi disebabkan permintaan, kami perlu hantar menerusi perkhidmatan penghantaran.”

Erik Ong (kanan) menimbang isi durian yang akan dibungkus dan dihantar kepada pelanggan.

Koh berkata, operasi mereka mempunyai kelebihan tertentu berbanding perkhidmatan penghantaran makanan yang turut menjual durian melalui aplikasi mereka.

“Dengan khidmat penghantaran makanan, ada had untuk jarak penghantaran dan penjual tradisional perlu berkongsi keuntungan mereka.

“Dengan kami, mereka dapat harga penuh untuk buah mereka dan kami juga dapat berinteraksi dengan pelanggan, yang memberi mereka keyakinan terhadap perkhidmatan kami.”

Tetapi, dengan kelonggaran PKP, jualan mula perlahan.

“Kebanyakan orang akan kembali kepada cara lama untuk menikmati durian, duduk di meja, kupas dan makan isinya,” kata Chai.

Tetapi, Koh dan Chai percaya jualan durian dalam talian ialah trend yang semakin berkembang dan akan menjadi pilihan utama dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

“Mana-mana perniagaan sekarang perlu mempunyai unsur dalam talian dan kehadiran dari segi fizikal,” kata Koh sambil menambah ini sebabnya mereka bercadang membuka sebuah kedai.

Erik Ong yang memiliki dan mengendalikan kedai popular Durian King di Taman Tun Dr Ismail, turut menyaksikan peningkatan jualan dalam talian.

Pekerja Durian King menurunkan bekalan durian yang baru sampai.

Sebelum PKP, kedai Ong akan dikunjungi ratusan pelanggan setiap hari dan permintaan duriannya kekal tinggi selepas sekatan dilaksanakan.

Beliau membuat persediaan untuk jualan dalam talian selama 2 tahun dan akhirnya membuahkan hasil.

Seperti Koh dan Chai, beliau menjual isi durian seberat 300gm dalam bungkusan. Jualannya kekal sama seperti sebelum PKP dilaksanakan.

“Kami menjual isi durian dan kami boleh dapat bekalan kami kerana memohon kebenaran kerajaan sebagai sebahagian rantaian bekalan makanan.”

Bekalannya datang dari Pahang dan Negeri Sembilan.

“Cabarannya ialah logistik. Bergantung kepada lokasi, kadangkala bayaran penghantaran mencecah separuh daripada harga buah itu.”

Tetapi, katanya, pelanggan sanggup membayarnya.

“Saya rasa durian menagihkan. Lagi lama anda tak makannya, lagi anda mengidamkannya. Kami ada seorang pelanggan yang menempah 30 bungkus sekaligus.

“Tetapi, pelanggan lebih suka keluar dan makan durian, berkongsi dengan kawan.

“Saya menjangkakan selepas keadaan kembali normal, jualan dalam talian akan menyumbang hanya 20% kepada keseluruhan jualan.”

Pun begitu, katanya, pelanggan mula ke kedainya untuk membeli durian sendiri.

“Jualan dalam talian bersifat bermusim dan hanya disebabkan PKP. Pelanggan muda mungkin yang membelinya dalam talian.

“Kami akan terus mempromosikan jualan dalam talian, tetapi operasi kedai kami masih menjadi fokus utama kami.”