‘Lathi Challenge’ hanya sekadar solekan dan tarian atau mempunyai unsur lain?

Lathi Challenge’ mula mendapat perhatian selepas seorang vlogger kecantikan Jharna Bhagwani, berasal dari Indonesia membuat kandungan video menggunakan lagu Lathi ini. (Gambar Twitter)

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai “Lathi Challenge” yang menampilkan kreativiti solekan pada wajah cantik sebelum berubah menjadi watak yang menakutkan.

Cabaran ini menggunakan lagu tema yang menggabungkan elemen muzik elektronik dan tradisional budaya Jawa berjudul Lathi, nyanyian Weird Genius dan Sara Fajira.

Lathi Challenge ini mula mendapat perhatian selepas seorang vlogger kecantikan Jharna Bhagwani, 17, yang berasal dari Indonesia membuat kandungan video menggunakan lagu Lathi ini.

Jharna Bhagwani membuat kandungan video solekan yang mengenakan pakaian tradisional Jawa sambil diiringi lagu tersebut.

Kandungan video tersebut dilakukan Jharna selepas ramai yang memintanya untuk melakukan “challenge” tersebut.

Bagi sesetengah pihak, termasuk pendakwah dan penceramah bebas, “challenge” ini bukanlah sesuatu yang baik untuk dilakukan umat Islam kerana dikatakan tarian tersebut berunsur tidak baik.

Namun, tidak kurang juga yang menyatakan bahawa Lathi Challenge ini tidak mempunyai sebarang unsur mistik mahupun khurafat.

Ia hanyalah untuk menunjukkan seni dan kreativiti semata-mata.

“Lathi” sebenarnya bermaksud ucapan atau secara literal bermaksud lidah.

Di bahagian bridge lagu Lathi ini, turut diselitkan lirik atau ayat dalam bahasa jawa.

Ada yang mengatakan ayat jawa ini seperti memanggil atau menyeru kehadiran makhluk halus.

Tetapi sebenarnya, maksud lagu ini tiada kaitan dengan hantu ataupun jembalang.

Menurut penulis lirik, lagu ini menceritakan tentang hubungan percintaan yang toksik dan didominasi dengan pembohongan dan ego.

Bagaimanapun, lagu ini sedikit sebanyak menimbulkan kontroversi kerana dikatakan solekan hantu dan tarian yang dilakukan dalam Lathi Challenge seolah-olah menyeru kuntilanak atau melakukan pemujaan roh.

Namun, apa yang pasti janganlah kita terlalu taksub dan hanyut dengan Lathi Challenge ini.

Janganlah disebabkan challenge yang tular di media sosial hanya untuk tempoh masa yang sekejap ini, kita bermusuh dan membenci sesama sendiri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]