Solat Jumaat, jemaah dibenar dengan kapasiti 1/3 di WP bermula 12 Jun

Menteri di-Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad al-Bakri.

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini bersetuju untuk membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan berjemaah dengan kapasiti 1/3 di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bermula 12 Jun depan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau sendiri sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui sidang video bagi tujuan mengangkat isu peluasan kapasiti solat Jumaat dan berjemaah dalam tempoh PKPP di Wilayah Persekutuan.

“Bagi menzahirkan titah perkenaan Agong, bagi Wilayah Persekutuan dalam zon hijau akan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan keluasan 1/3 dewan solat Jumaat pada 12 Jun.

“Sebagai contoh, jika sesebuah dewan boleh memuatkan 1,000 orang padat satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah seramai 333 orang buat masa ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau juga boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat.

“Sistem penggiliran atau apa-apa cara yang sesuai pada hemat jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh dilaksanakan bagi memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir.

“Kapasiti akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Berita gembira buat semua muslimah, anda juga dibenarkan untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram anda,” katanya.

Tambah Zulkifli, tidak ada had umur ditetapkan untuk warga emas hadir sebagai jemaah dengan syarat memiliki kesihatan baik. Namun bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan jemaah yang bergejala serta menghidap penyakit kronik, tidak dibenarkan hadir ke masjid buat masa ini.

“Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan ‘rider’ perkhidmatan e-hailing.

“Kuliah Maghrib dan kuliah Subuh boleh dijalankan semula dengan mematuhi beberapa syarat, iaitu kuliah Maghrib dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isya.

“Manakala kuliah Subuh boleh berlangsung sekitar 20–30 minit sahaja. Saya juga ingin mengingatkan jawatankuasa masjid, surau Jumaat dan surau bahawa jamuan makan selepas kuliah adalah tidak dibenarkan pada masa ini,” katanya.

Zulkfili turut mengingatkan jemaah yang akan menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid dan surau untuk melaksanakan penjarakan sosial di dalam dan di luar masjid, dengan jarak sejauh 1 meter antara satu sama lain.

“Jemaah wajib memakai pelitup muka. Semua ahli jemaah hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid. Jika wuduk terbatal, anda dibolehkan untuk mengambil wuduk di pili air ditetapkan sahaja. Penggunaan kolah tidak dibenarkan.

“Jemaah juga perlu terus bersurai dalam keadaan tenang serta tidak bersalaman dan bersentuhan sepanjang berada di masjid, surau Jumaat dan surau. Bahkan tidak ada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat, sama ada di dalam atau di luar masjid,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak berkuasa agama negeri turut diminta mengambil serius beberapa perkara seperti mewujudkan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.

“Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat. Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa.

“Bahkan kehadiran hendaklah direkodkan di dalam buku kehadiran atau aplikasi yang disediakan pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau.

“Bukan itu sahaja, pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan,” katanya.