Jeffrey hanya ‘orang kecil’ dalam PN, kata pemimpin Warisan

Presiden STAR Jeffrey Kitingan ‘hanya pandai bercakap’ kata pemimpin Warisan Terrence Siambun.

PENAMPANG: Pemimpin STAR Jeffrey Kitingan didakwa cuba menimbulkan ketidakstabilan politik di Sabah berikutan kritikannya terhadap pemimpin Warisan dan juga Ketua Menteri Shafie Apdal.

Bendahari agung Warisan Terrence Siambun berkata, Shafie tidak akan tunduk kepada pesaing politiknya dengan menghalang wakil rakyat gabungan kerajaan pimpinan parti itu daripada menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Ketua menteri memikul tanggungjawab menjamin kestabilan untuk semua rakyat Sabah, komuniti pernoiagaan dan pelabur, “ kata Siambun.

“Apa-apa percubaan untuk menimbulkan ketidakstabilan perlu dipatahkan dan dalangnya hendaklah diberi amaran kerana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan ke atas keyakinan pelabur,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, Kitingan berkata, Shafie bercakap “seperti gangster jalanan” kerana mengugut pesaing politik beliau.

Siambun berkata, Kitingan menyifatkan Kitingan sebagai individu yang tidak mempunyai idea tentang bagaimana mahu mengurus negeri itu dan hanya merupakan orang kecil dalam PN.

Beliau berkata, Kitingan tidak diendahkan oleh menteri kanan persekutuan dalam mesyuarat yang diadakan di Kota Kinabalu semalam, selain menambah pemimpin PN mungkin mula menyedari bahawa Kitingan, yang juga merupakan Adun Tambunan, hanya “pandai bercakap”.

Siambun juga menyifatkan Kitingan sebagai “Ibrahim Ali baru” dalam kenyataan jeleknya terhadap Warisan.