Menteri gesa penjaja pasar malam TAR bincang dengan DBKL berkait SOP ketat

Kira-kira 500 penjaja dan peniaga pasar malam TAR menangguhkan pembukaan semula perniagaan sepanjang PKPP kerana mendakwa SOP itu terlalu ketat dan tidak munasabah.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob meminta penjaja pasar malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang tidak berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) terlalu ketat supaya berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, SOP untuk membenarkan penjaja beroperasi semula di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dibuat DBKL selepas berbincang dengan persatuan penjaja terbabit.

“Jika ada perkara yang menyusahkan mereka (penjaja), mereka pergi jumpa balik dengan DBKL, bincang perkara yang mereka kurang bersetuju.

“DBKL boleh bawa semula cadangan tersebut untuk dibincangkan dalam mesyuarat khas menteri-menteri. Kalau DBKL kata perlu pinda SOP dan kita juga merasakan boleh pinda, kita akan pertimbang. Tetapi, yang penting bincang dulu antara mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kira-kira 500 penjaja dan peniaga pasar malam TAR menangguhkan pembukaan semula perniagaan sepanjang PKPP kerana mendakwa SOP itu terlalu ketat dan tidak munasabah.

Pelajar asing kembali ke Malaysia

Ismail berkata, isu membenarkan pelajar asing kembali ke Malaysia untuk menyambung pelajaran mereka akan dibincangkan esok.

“Kita faham bukan saja pelajar antarabangsa di IPTS dan IPTA, malah sekolah antarabangsa juga memohon supaya benar pelajar asing pulang belajar. Esok kita akan bincang untuk kebenaran dan SOP, Jumaat nanti kita akan umumkan.”

SOP pawagam

Ismail berkata, SOP untuk pembukaan semula pawagam belum dimuktamadkan.

“Setakat ini SOP belum ada, kalau ada kita akan umum.”

Sementara itu, Ismail berkata, polis menahan 61 individu atas kesalahan melanggar arahan PKPP, termasuk mengunjungi kelab malam.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti di pub dan kelab malam yang membawa penahanan 44 individu. Empat individu melakukan aktiviti refleksologi atau urut dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial menyebabkan 13 ditahan.”

Katanya, 850 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 153 tekong ditahan dalam Ops Benteng mulai 1 Mei hingga semalam kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram, khasnya melalui lorong tikus.

“Turut ditahan 12 individu yang disyaki penyeludup serta 18 kapal.”