Megan Fox tayang kekasih baru selepas 2 bulan bercerai

Megan terkenal dengan wataknya dalam Filem Transformers: Revenge of The Fallen.

Artis terkenal Megan Fox seakan mengesahkan dirinya sedang dilamun cinta dengan penyanyi serta komposer Machine Gun Kelly (MGK).

Kemesraan mereka semakin terserlah selepas tersebarnya beberapa keping gambar adegan mesra mereka berpegangan tangan serta berciuman beberapa hari lalu.

Megan atau nama sebenarnya Megan Denise Fox, 34, yang terkenal dengan wataknya sebagai Mikaela dalam filem Transformers: Revenge of The Fallen mula diperkatakan mempunyai hubungan istimewa dengan MGK apabila dilihat muncul dalam klip video lagu terbaru MGK berjudul Bloody Valentine.

Terbaru melalui laporan Dailymail, Megan dikatakan belum bersedia untuk memperkenalkan MGK kepada anak-anaknya.

Malah MGK turut menjelaskan hubungannya bersama Megan masih terlalu baru dan belum terlalu serius.

Untuk rekod, Megan dan bekas suaminya iaitu Brian Austin Green, 46, baru sahaja berpisah pada awal Mei lalu.

Perpisahan ini merupakan perpisahan kedua mereka selepas kali pertama pada Ogos 2015.

Lebih mengejutkan, Brian juga dikatakan sedang hangat bercinta dengan personaliti Courtney Stodden yang dikenali melalui laman sosial.

Megan dan Brian berkahwin pada Jun 2010 dan dikurniakan 3 cahaya mata.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]