Bekas pelapor khas PBB dakwa kerajaan berundur daripada komitmen atasi kemiskinan

Philip Alston pada tahun lalu berkata, kadar kemiskinan negara tidak mencerminkan keadaan sebenar kehidupan rakyat.

PETALING JAYA: Bekas pelapor khas kemiskinan tegar dan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Philip Aston mendakwa kerajaan baru berundur daripada komitmen pentadbiran terdahulu bagi menangani isu kemiskinan secara bersungguh-sungguh susulan laporan satu lawatan rasmi yang menyatakan garis kemiskinan Malaysia terlalu rendah untuk mencerminkan keadaan sebenar.

Philip Alston menerusi laporan akhirnya yang dikeluarkan hari ini, berkata pegawai kerajaan terdahulu, termasuk perdana menteri yang berjanji menyemak semula kadar kemiskinan negara sebanyak 0.4%.

“Bagaimanapun, respons kerajaan baru kepada (laporan itu) meragui komitmen itu, dengan menyatakan ‘ia berpegang kepada kadar kemiskinan mutlak’,” katanya dalam kenyataan hari ini, merujuk komen yang dibuat pada perhimpunan agung PBB tahun ini.

“Kerajaan baru Malaysia bertindak berlawanan ke atas komitmen pentadbiran terdahulu untuk memandang serius isu kemiskinan.

“Secara keseluruhannya, walaupun Malaysia sudah mencapai kemajuan dalam membasmi kemiskinan, kecuali kerajaan baru mengambil pendekatan berlainan, tugasnya belum selesai.”

Philip Alston

Ketika Alston melawat Malaysia pada 13 hingga 23 Ogos 2019, beliau ke Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan, serta menemui pegawai kerajaan persekutuan dan negeri, agensi antarabangsa, orang awam, ahli akademik dan penduduk miskin di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, kadar kemiskinan rasmi – yang terendah di dunia – tidak mencerminkan kos kehidupan di negara ini dan mengecualikan penduduk yang mudah terjejas daripada statistik rasmi.

Laporan akhir itu akan diserahkan kepada Majlis Hak Asasi PBB pada 7 Julai ini.

Garis kemiskinan negara ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan, yang bermakna 4 sekeluarga hidup dengan RM8 seorang setiap hari.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, laporan Alston perlu dilihat secara positif untuk kerajaan bekerja lebih keras untuk membasmi kemiskinan.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin Ali yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi ketika itu, berkata kadar kemiskinan itu berdasarkan buku panduan yang diterbitkan PBB sendiri.

“Malaysia tetap dengan pendirian berhubung kadar kemiskinan tegar kita, yang kini direkodkan pada kadar 0.4% daripada keseluruhan isi rumah pada 2016 atau berjumlah 24,700 isi rumah,” katanya.

Alston bagaimanapun berkata, kadar kemiskinan semasa “tidak mencukupi dan dianggap sangat rendah di seluruh dunia.

“Penegasan yang kadar itu ‘berdasarkan piawaian diterima di peringkat antarabangsa’ ialah muslihat dan mengabaikan ketakpadanan jelas antara realiti dan statistik.

“Berpura-pura hampir tiada orang di seluruh negara yang hidup dalam kemiskinan tidak mengubah realiti berjuta-juta orang miskin.”

Katanya, Malaysia mencapai “kemajuan mengagumkan terhadap kemiskinan”, tetapi beliau memberi amaran penggunaan berterusan kadar kemiskinan semasa “mengaburi realiti membimbangkan berjuta orang bergelut dengan pendapatan sangat rendah, keadaan yang diburukkan lagi dengan penularan Covid-19”.

“Jika kerajaan mahu membasmi kemiskinan, menyemak semula kadar kemiskinan hanya langkah pertama.

“Kemajuan memerlukan pemahaman lebih baik terhadap punca kemiskinan, khasnya di kawasan bandar, menambah baik dasar sosial dan pendekatan baru terhadap populasi diabaikan sekian lama yang berdepan kadar kemiskinan lebih tinggi.”