52 ditahan ingkar PKPP

Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Seramai 52 individu ditahan semalam kerana melanggar SOP di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, katanya, 40 dikompaun, 11 direman dan seorang lagi dibebaskan atas jaminan polis.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (16 individu) dan aktiviti yang melanggar SOP (36 individu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, 2,877 pasukan pematuhan membabitkan 13,262 anggota membuat pemeriksaan di 4,005 pasar raya, 5,736 restoran, 1,512 penjaja, 1,117 kilang, 3,862 bank dan 750 pejabat kerajaan.

Task force SOP turut memantau 1,104 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air dan 128 terminal pengangkutan udara.

Operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) diteruskan dengan polis memeriksa 37,001 kenderaan di 68 sekatan jalan raya semalam, di mana 5 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Seramai 1,598 PATI, 526 tekong dan 110 penyeludup ditahan dengan 54 bot serta 156 kenderaan yang terbabit dalam percubaan menceroboh sempadan negara sejak 1 Mei hingga semalam.

Kuarantin rumah

Ismail berkata, 18,154 individu yang tiba melalui KLIA disaring untuk Covid-19 dari 10 Jun hingga 12 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, 18,081 didapati negatif Covid-19 dan diminta menjalani kuarantin di rumah, manakala 73 yang disahkan positif dihantar ke hospital.

Semalam, 477 rakyat Malaysia tiba di KLIA dan klia2 dari Indonesia, Thailand, Qatar, Japan, China serta India, dengan semuanya wajib menjalani kuarantin di rumah.

Polis turut membuat 1,455 pemantauan ke atas individu yang wajib menjalani kuarantin di rumah dan semuanya mematuhi SOP ditetapkan.