
Panel 3 hakim terdiri daripada Yaacob Md Sam, Hadhariah Syed Ismail dan Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pendakwaaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan terhadap Mohd Khaidir Man kepada menyebabkan kematian tidak terjumlah kepada pembunuhan.
Mohd Khaidir, 30, dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi bagi kesalahan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Dalam penghakimannya, Yaacob yang mempengerusikan panel itu berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Abdul Halim Aman terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika meminda pertuduhan tersebut.
Beliau berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Mohd Khaidir bagi kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Yaacob kemudian menggantikan keputusan itu dengan sabitan bagi kesalahan membunuh dan menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohd Khaidir.
Mohd Khaidir didakwa bersama-sama Abdul Aziz Zabidi, 41, membunuh Razali Mahmod, 38, yang juga seorang gelandangan, di sebuah bilik Hotel Times Inn di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor pada 9.45 malam 1 Mac 2016.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membebaskan Abdul Aziz tanpa dipanggil membela diri dan pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Pada akhir kes pembelaan, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2018 menjatuhi hukuman penjara 20 tahun ke atas Mohd Khaidir selepas meminda pertuduhan terhadapnya kepada menyebabkan kematian tidak terjumlah kepada pembunuhan.
Mengikut fakta kes, pergaduhan meletus antara Mohd Khaidir, mangsa dan Abdul Aziz di sebuah bilik hotel dan keterangan menunjukkan bahawa si mati dipukul, ditumbuk dan ditendang berulang kali.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya How May Ling, manakala Mohd Khaidir diwakili peguam K A Ramu.