
Hanya 7 pesakit sembuh hari ini, menjadikan semuanya 8,562 kes pulih setakat ini.
Tiada kematian direkodkan hari ini yang menyaksikan angka itu kekal 123 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 kes baru itu ialah penularan tempatan dengan seorang daripadanya warga asing, manakala baki 4 lagi kes import.
Katanya, satu kes jangkitan di dalam negara itu membabitkan kes saringan kemasukan baru warga asing ke Depot Tahanan Imigresen Semuja di Sarawak.
Beliau berkata, 8 lagi kes jangkitan tempatan itu membabitkan rakyat tempatan di Sarawak, masing-masing seorang di Selangor dan Sabah.
Katanya, 3 daripada 4 kes import itu terdiri daripada rakyat Malaysia dan seorang lagi warga asing yang dibenarkan memasuki Malaysia atas urusan kerja.
“Empat kes import tersebut dari Belanda, Arab Saudi, United Kingdom dan Indonesia,” katanya pada sidang media hari ini.
Hisham berkata, jumlah kes aktif kini meningkat kepada 130 orang.
Katanya, 4 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.
Kuarantin rumah ditamatkan
Hisham berkata, kerajaan menamatkan kuarantin rumah bagi individu pulang dari luar negara disebabkan ketidakpatuhan mereka terhadap arahan dan SOP.
“Isunya ialah ketidakpatuhan apabila duduk di rumah, sepatutnya kuarantin, tetapi bergaul rapat dengan ahli keluarga, jadi ahli keluarga dijangkiti. Itu puncanya.
“Jika kuarantin di pusat kuarantin pun, kalau mereka masih gaul satu sama lain seperti bercampur, mereka boleh sebabkan penularan. Apa kita lakukan adalah kepatuhan arahan kuarantin sama ada di rumah atau pusat kuarantin.”
Katanya, individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah akan terus berbuat demikian sehingga tempoh 14 hari tamat.
Beliau berkata, kerajaan akan memulakan kuarantin di pusat bagi mereka yang pulang dari luar negara mulai Jumaat ini.
Terdahulu, Putrajaya mengumumkan warganegara dan warga asing yang dibenarkan memasuki Malaysia tidak lagi dibenarkan menjalani kuarantin di rumah mulai Jumaat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, mereka wajib menjalani kuarantin di institut latihan awam atau hotel dengan kos perlu ditanggung sendiri sepenuhnya.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana masih ada individu degil melanggar SOP kuarantin rumah yang mengundang risiko penularan tempatan.
Sementara itu, Hisham berkata, 63 individu yang sepatutnya menjalani ujian saringan Covid-19 kedua untuk mengakhiri perintah kuarantin di rumah, tidak dapat dikesan.
“Kita akan ke rumah, sama ada patuh pada SOP atau tidak.