2 kluster baru Covid-19 dikesan, kata Noor Hisham

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan dan punca jangkitan kluster masih dalam siasatan.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan 2 kluster baru Covid-19 terdiri daripada kluster Bukit Tiram dan kluster Syarikat Pembinaan Kuching.

Ketua Pengarah Kesihataan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Bukit Tiram dikenal pasti apabila terdapat 2 kes positif dilaporkan di sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor.

“Kedua-dua kes positif, iaitu kes ke-8,868 dan kes ke-8,869 yang dikesan dalam kluster ini merupakan bukan warganegara yang menetap di Malaysia dan kakitangan pusat tersebut.

“Kedua-dua kes positif ini mula mengalami gejala pada 15 Julai, namun tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan. Kemudian, mereka membuat saringan Covid-19 dan dikesan positif pada 24 Julai,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga 25 Julai, terdapat 2 kes positif dan 10 kontak rapat sudah dikenal pasti dalam kluster itu, malah semua 10 orang bagi kontak rapat sudah disaring dan masih menunggu keputusan.

“Siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif sedang diteruskan. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kluster ke-2 pula adalah kluster Syarikat Pembinaan Kuching.

Katanya, kes pertama kluster itu adalah kes positif Covid-19 yang dikesan pada 11 Julai, iaitu kes ke-8,715.

“Melalui siasatan dijalankan, sebanyak 55 kontak rapat dikenal pasti terdiri daripada 5 rakan serumah dan 50 rakan sekerja. Semua kontak ini sudah disaring dan didapati negatif Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kluster itu dikenal pasti apabila 1 kes positif, iaitu kes ke- 8,881, dikesan daripada saringan ulangan kontak rapat kes ke-8,715.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya.