Pas warga asing dibatal jika enggan bayar kos kuarantin, kata KP Imigresen

Pada 24 Julai kerajaan mewajibkan semua warga asing yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia menanggung sepenuhnya kos kuarantin Covid-19.

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen memberi amaran akan membatalkan pas lawatan jangka panjang warga asing sekiranya mereka enggan membayar kos kuarantin-19 Covid.

Ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata, keengganan warga asing itu menjejaskan usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak tersebut.

“Antara jenis pas yang terlibat ialah pas suami atau isteri kepada warga negara, pas lawatan kerja sementara, pas lawatan ikhtisas, pas penggajian (ekspatriat), pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan kategori lain.

“Jabatan ini menasihatkan supaya semua warga asing dan rakyat tempatan supaya mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini daripada agensi kerajaan berhubung langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar arahan atau gagal mematuhi “standard operation procedure” (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan menetapkan mulai 24 Julai 2020, semua warga negara Malaysia yang pulang ke negara ini dan warga negara asing yang diberi kebenaran masuk, dikuarantin selama 14 hari.

Bagi warga negara asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan.