
Jumlah kematian kekal 125 orang susulan tiada kematian dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataannya, 2 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 1 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,038 kes Covid-19 dengan 8,713 daripadanya disahkan sembuh.
Dalam pada itu, 200 pesakit kini dirawat di hospital di seluruh negara.
Noor Hisham berkata, daripada 15 kes baru hari ini, 5 adalah kes import.
“Ingin dimaklumkan daripada 15 kes baru yang dilaporkan, 5 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 3 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara,”katanya.
Manakala 10 daripadanya membabitkan penularan tempatan dan 6 adalah jangkitan daripada kluster Sivagangga.
“Daripada 10 kes penularan dalam negara, 8 adalah dalam kalangan warganegara tempatan dan 2 kes bukan warganegara,” katanya.
Perincian kes penularan dalam negara membabitkan 8 warga tempatan, iaitu 6 kes daripada kluster PUI Sivagangga Kedah, 1 saringan tempat kerja di Negeri Sembilan dan 1 saringan di pintu masuk antarabangsa Labuan.
“Bagi 2 kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula adalah 1 kes di Negeri Sembilan membabitkan saringan tahanan yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 1 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan saringan komuniti bersasar,”katanya.
Tambahan 6 kes kluster Sivaganga
Dalam perkembangan sama Noor Hisham berkata, sehingga 6 Ogos, 2,351 orang disaring dalam kluster Sivagangga.
“30 kes dikesan positif, 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan
“Enam kes baru dikesan dalam kluster PUI Sivagangga pada hari ini melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection).
“Satu daripada 6 kes baru ini (iaitu kes ke-9032) mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarga beliau yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.
“Kes mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos 2020. Kes kemudiannya dikesan positif pada 5 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Ahli keluarga tersebut disaring dan masih menunggu keputusan.
“Lima kes baru selebihnya terdiri daripada 1 keluarga (iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037). Mereka mempunyai sejarah mengunjungi salah satu kawasan yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di negeri Kedah.
“Mereka dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga tersebut masih dalam siasatan.
“Keenam-enam kes ini merupakan kes generasi kedua dalam kluster PUI Sivagangga. Saringan kontak rapat kes positif ini dan ‘Active Case Detection’ diteruskan,”katanya.
Noor Hisham juga memaklumkan, daripada siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9023 dari Kulim (kes yang dilaporkan pada 5 Ogos 2020), 15 kontak rapat beliau dikenal pasti dan disaring. Punca jangkitan kes ini masih dalam siasatan.
“Situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai.
“Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” katanya.