NGO Islam tolak buka semula inkues Adib

Sebanyak 20 tuntutan dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam kepada kerajaan Perikatan Nasional dalam sidang media diadakan hari ini.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) tidak bersetuju dan menolak jika kerajaan mahu mengadakan inkues kali ke-2 berkaitan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya berkata, pihak yang mencadangkan membuka semula inkues Adib mungkin tidak faham prosedur dari segi perjalanan mahkamah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) Islam kepada kerajaan Perikatan Nasional hari ini.

Aminuddin menuntut pihak kerajaan meneruskan dan bertindak seadilnya dalam kes berprofil tinggi seperti kes Adib.

“Ambil tindakan tegas dan seadilnya. Ikut lunas undang-undang tanpa pengaruh politik dan sebagainya,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, kerajaan menjelaskan kertas siasatan kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Dis 2018, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pembela Zainul Rijal berkata dari sudut Mahkamah Koroner sebelum ini jelas mengatakan terdapat perlakuan jenayah yang boleh menyebabkan kematian Adib.

Beliau berkata, jika inkues kali ke-2 diadakan, tindakan itu tersasar daripada prinsip undang-undang.

“Satu keputusan muktamad tak boleh 2 kali perbicaraan dilakukan dalam 1 perkara.

“Dalam undang-undang, mana-mana pihak tidak berpuas hati 1 keputusan daripada Mahkamah Koroner atau inkues, perkara perlu dilakukan adalah dengan buat semakan kehakiman bukannya dengan adakan inkues yang baru,” katanya.

Zainul berkata, mengadakan inkues semula tidak menyelesaikan masalah.

“Adakah jika tidak berpuas hati dengan inkues ke-2 nanti akan diadakan inkues kali ke-3, ke-4 dan ke-5.

“Takkan habis. Apa perlu dilakukan adalah hormati keputusan Mahkamah Koroner,” katanya.

Adib yang juga anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) balai bomba dan penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam pada itu, Aminuddin berkata sebanyak 20 tuntutan dibuat oleh NGO Islam hari ini dan salah 1 adalah penyelesaian isu Adib.

Katanya, 20 tuntutan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

Antara, tuntutan lain membuka semula kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), meminta kerajaan PN menubuhkan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara, meminta kerajaan menyokong kempen “Buy Muslim First” dan menaiktaraf kedaulatan Mahkamah Syariah.