Abdul Ghani Salleh pengerusi baharu SPR

Abdul Ghani Salleh pengerusi baharu SPR

Pelantikan Ghani berkuatkuasa hari ini hingga mencapai usia 66 tahun selaras Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu menggantikan Azhar Azizan Harun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Abdul Ghani Salleh sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu bagi menggantikan Azhar Azizan Harun yang kini speaker Dewan Rakyat.

Pelantikan Ghani berkuatkuasa hari ini hingga mencapai usia 66 tahun selaras Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan itu juga mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

SPR turut mengumumkan Nik Ali Mat Yunus sebagai ahli SPR menggantikan Ramlan Ibrahim berkuatkuasa hari ini.

Ghani, 62, dilahirkan di Kuala Krau, Perak, berkelulusan ijazah sarjana muda (kepujian) pengurusan dan pemasaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sepanjang perkhidmatan, beliau memegang beberapa jawatan antaranya Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat dan pegawai daerah Gombak dan setiausaha SPR sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018.

Sementara itu, Nik Ali, 62, dilahirkan di Kelantan dan berkelulusan ijazah sarjana muda (kepujian) pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya (UM) dan ijazah sarjana dari University of Hull, United Kingdom.

Sepanjang kariernya, beliau menjawat beberapa jawatan penting antaranya pengerusi eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan pengarah Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri dan jawatan terakhir sebagai timbalan ketua setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi.

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai pengerusi dan ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.

“Kerajaan juga ingin merakam penghargaan kepada Azhar Azizan dan Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.