
Beliau yang juga ketua menteri Sarawak berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbabit berhasrat memberi laluan kepada pemimpin muda.
Seorang daripada mereka ialah Adun Kalaka Abdul Wahab Aziz daripada parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Wahab Aziz berkata sudah tiba masa bagi beliau berundur dan memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk bertanding di kerusi itu,” katanya yang juga presiden PBB kepada pemberita hari ini.
Pada masa sama, beliau menasihati pemimpin muda GPS supaya tidak terburu-buru mengejar jawatan dalam parti.
“Orang muda kadang-kadang mengikut emosi. Mereka ibarat bot laju. Jika dipandu terlalu laju, bot akan terlanggar batang balak dan terbalik,” katanya.
Beliau juga berkata, pemimpin muda perlu dibimbing untuk tempoh yang lama sebelum dapat diberi amanah memimpin negeri kerana tidak mudah mentadbir Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.