7 kes baru Covid-19, 6 sembuh

7 kes baru Covid-19, 6 sembuh

184 pesakit sedang dirawat di hospital di seluruh negara.

PETALING JAYA:Tujuh kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 6 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang dan tiada kematian baru dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 8 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 5 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,274 kes Covid-19 dengan 8,965 daripadanya sembuh.

Ketika ini, 184 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, daripada 7 kes baru yang dilaporkan hari ini, 2 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

Katanya, 2 kes import tersebut adalah dari negara Filipina, iaitu 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dari Amerika Syarikat, iaitu 1 kes juga di Kuala Lumpur.

Katanya, daripada 5 kes penularan dalam negara, 2 membabitkan warganegara Malaysia dan 3 bukan warganegara.

Beliau berkata, 3 kes bukan warganegara adalah dari Sarawak, iaitu 2 kes saringan di tempat kerja.

“Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan 1 kes sebelum balik ke negara asal,” katanya.

Tiada kes baru kluster Tawar

Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baru yang dilaporkan bagi kluster Tawar hari ini.

Beliau berkata, saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan tetap diteruskan.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 3,436 orang disaring dalam kluster ini,” katanya.

Noor Hisham berkata, di Kedah 2,907 disaring dan daripada jumlah itu, 54 kes dikesan positif Covid-19.

“Selebihnya 2,393 negatif dan 460 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, di Pulau Pinang sebanyak 518 disaring.

“Daripada jumlah itu, 11 kes dikesan positif Covid-19, 506 individu negatif dan 1 individu masih menunggu keputusan.

“Di Perak, 11 saringan dibuat dan semua adalah negatif. Tiada saringan baru dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.