Ismail Sabri tak pasti jika menteri ke Turki bersendirian

Ismail Sabri tak pasti jika menteri ke Turki bersendirian

Bagaimanapun, katanya, Mohd Khairuddin Aman Razali disaring 2 kali untuk Covid-19 setibanya di tanah air.

Ismail Sabri Yaakob pernah mencadangkan denda di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dinaikkan kepada RM10,000, tetapi ia memerlukan pindaan akta.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob tidak pasti jika Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali melawat Turki bersendirian atau bersama orang lain.

“Saya cuma tahu YB menteri saja. Yang ikut dia, saya tak tahu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, Khairuddin disaring untuk Covid-19 sebanyak 2 kali – kali pertama di pintu masuk negara dan sekali lagi selepas itu.

Ismail berkata, beliau sebelum ini mencadangkan denda di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dinaikkan kepada RM10,000, tetapi ia memerlukan pindaan akta.

Katanya, perkara itu hanya boleh dibawa ke mahkamah selepas polis menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada mahu mendakwa atau tiada tindakan lanjut.

“Semalam, perdana menteri membuat kenyataan serah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan seterusnya.

“Polis sedang siasat, kita serah kepada polis untuk buat siasatan.”

Khairuddin sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari sekembali dari Turki pada 7 Julai lalu, tetapi beliau menghadiri beberapa acara, termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai lalu.

Khairuddin kemudiannya memohon maaf dan berjanji akan menyumbang semua gajinya sebagai menteri dari Mei hingga bulan ini kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melalui Twitternya berkata, walaupun Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan itu, kes itu masih disiasat polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.