China lancar 2 peluru berpandu beri amaran kepada AS

Sumber berkata, pelancaran peluru berpandu bertujuan meningkatkan kebolehan China untuk menyekat kemasukan tentera lain ke Laut China Selatan. (Gambar AP)

PETALING JAYA: China melancarkan 2 peluru berpandu, termasuk 1 “pemusnah kapal pembawa pesawat”, ke Laut China Selatan pada Rabu untuk memberi amaran jelas kepada Amerika Syarikat, menurut sumber terdekat tentera China.

Akhbar South China Morning Post melaporkan langkah itu diambil sehari selepas pihak China berkata, 1 pesawat pengintip AS U-2 memasuki zon larangan penerbangan sewaktu negara itu melakukan latihan ketenteraan laut di pantai utara Laut Bohai.

Salah satu peluru berpandu, DF-26B, dilancarkan dari barat laut wilayah Qinghai, manakala satu lagi, DF-21D, dilancarkan dari timur wilayah Zhejiang.

Kedua-duanya dilancarkan ke kawasan antara wilayah Hainan dan kepulauan Paracel, menurut sumber itu.

Kawasan pendaratan peluru berpandu itu berada dalam lingkungan dinyatakan pihak berkuasa keselamatan wilayah Hainan pada Jumaat sebagai tidak melebihi had kerana terdapat latihan ketenteraan bermula Isnin hingga Sabtu.

Peluru berpandu berkembar DF-26 merupakan senjata diharamkan dalam Perjanjian Nuklear Jarak Sederhana (Intermediate-Range Nuclear Forces Treaty) yang ditandatangani Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet pada akhir Perang Dingin.

Apabila AS menarik diri daripada perjanjian itu tahun lepas, negara itu menyatakan kecenderungan China menggunakan senjata sebegini sebagai justifikasi.

DF-26 mempunyai jarak sejauh 4,000km dan boleh digunakan dalam serangan nuklear dan konvensional terhadap sasaran di darat atau laut.

DF-21 mempunyai jarak sejauh 1,800km, dengan media tempatan menyifatkan peluru berpandu itu paling canggih dalam siri itu.

DF-21D adalah peluru berpandu balistik anti-kapal perang yang pertama di dunia.

Sumber berkata, pelancaran peluru berpandu itu bertujuan meningkatkan kebolehan China untuk menyekat kemasukan tentera lain ke Laut China Selatan, kawasan penuh pertikaian.

“Ini ialah tindak balas China terhadap potensi risiko akibat peningkatan kekerapan pesawat pejuang dan kapal tentera AS memasuki ke Laut China Selatan,” kata berita itu.

“China tidak mahu negara-negara jiran salah faham matlamat Beijing.”

Song Zhongping, seorang pengulas ketenteraan berpangkalan di Hong Kong berkata, pelancaran peluru berpandu itu jelas bertujuan memberi isyarat kepada AS.

“AS terus menguji ketegasan China dalam isu Taiwan serta Laut China Selatan, dengan China terpaksa menunjukkan kekuatan ketenteraannya bagi memberitahu Washington bahawa kapal pengangkut pesawat AS tidak mampu menunjukkan kekuatan penuh berhampiran pantai China,” kata Song.

Menteri pertahanan China tidak memberi komen sewaktu diminta penjelasan berkenaan isu pelancaran peluru berpandu itu.