400 mural tampil semangat patriotik PPR Desa Mutiara

400 mural tampil semangat patriotik PPR Desa Mutiara

Kira-kira 10,000 penduduk 22 blok bersama meraikan bulan kebangsaan dengan lukisan berunsur semangat patriotik, nilai kenegaraan, dan budaya rakyat.

JOHOR BAHRU:
Kira-kira 400 lukisan mural berunsur semangat patriotik, nilai kenegaraan, dan budaya rakyat ditonjolkan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, inisiatif penghuni memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Meskipun berdepan cabaran Covid-19, ia ternyata tidak melunturkan semangat kira-kira 10,000 penduduk 22 blok meraikan sambutan bulan kebangsaan menerusi kempen yang dianjurkan PPR itu bermula 16 Ogos.

Pelukis termuda, Nur Alyya Maisarah Muhammad Munir, menyifatkan melukis mural dapat menampilkan semangat menyambut bulan yang penuh bermakna itu.

“Walaupun saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya luangkan masa untuk melukis kerana mahu menunjukkan semangat patriotik dengan libatkan diri dengan sambutan ini,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah Hashim kepada Bernama.

Dia memilih gambar harimau sebagai lukisannya, kerana semangat Raja Rimba itu sinonim dengan masyarakat Johor serta turut ditampilkan dalam Jata Johor sebagai lambang keberanian dan kekuatan.

Antara mural yang dihasilkan ialah lambang sambutan Hari Kebangsaan pada 1981, Tugu Negara, Menara Berkembar KLCC, Jalur Gemilang dan bendera Johor, lambang budaya seperti tengkolok dan keris, serta buah-buahan tempatan.

Bagi Mohd Shah Md Seh, 41, yang bekerja dalam bidang pengiklanan, ini inisiatif penduduk untuk menaikkan semangat satu Malaysia dalam kalangan masyarakat rumah PPR.

“Kita cuba naikkan semangat patriotik bagi setiap lapisan umur tak kira tua dan muda. Sebelum ini, bukan tiada tapi dah makin hilang. Alhamdulillah, semangat itu rasanya lebih membara untuk 2020 terutama berhadapan cabaran Covid-19. Syukur alhamdulillah,” katanya yang sudah 12 tahun tinggal di PPR berkenaan.

Menurutnya, pemilihan mural turut dilakukan secara berpasukan dan teliti bagi memastikan ia bertepatan dengan tema dan sempurna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.