2 timbalan menteri wajib dicela atas isu Veveonah, kata Kadir Jasin

2 timbalan menteri wajib dicela atas isu Veveonah, kata Kadir Jasin

Ia selepas Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Masidi Manjun mengesahkan Veveonah Mosibin menduduki peperiksaan akhir semester pada 9 hingga 12 Jun lalu.

Kadir Jasin berkata, permohonan maaf daripada Abdul Rahim Bakri dan Zahidi Zainul Abidin tidak mencukupi, sebaliknya mereka perlu dipecat daripada jawatan masing-masing.
PETALING JAYA:
Wartawan veteran, A Kadir Jasin menggesa 2 timbalan menteri yang terbabit dalam kontroversi membabitkan pelajar Sabah, Veveonah Mosibin dicela oleh Jawatankuasa Tatatertib Parlimen.

Ini menyusul pengesahan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Masidi Manjun yang Veveonah menduduki peperiksaan akhir semester pada 9 hingga 12 Jun lalu, sekaligus menyangkal dakwaan terdahulu Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin.

Kadir berkata, permohonan maaf daripada 2 timbalan menteri itu tidak mencukupi, sebaliknya mereka perlu dipecat daripada jawatan masing-masing.

“Tetapi saya tidak yakin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, melihat perbuatan mereka sebagai serius atau berani bertindak ke atas wakil-wakil Umno itu.

“Kalau inilah sikap dan pekerti orang dewasa, khususnya dari parti-parti Perikatan Nasional, maka amat sesuailah orang muda mempunyai parti dan gerakan mereka sendiri supaya kuasa mengundi mereka tidak sia-sia,” tulisnya di Facebook hari ini.

Veveonah menjadi terkenal baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman video di saluran YouTubenya 3 bulan lalu menunjukkan beliau menghabiskan 24 jam di atas pokok dalam hutan untuk mendapat capaian internet terbaik bagi menduduki peperiksaan atas taliannya.

Minggu lalu, Zahidi dilaporkan mendakwa Veveonah ialah seorang YouTuber dan memalsukan peperiksaan atas taliannya untuk menambah pengikut saluran videonya.

Beliau kemudiannya memohon maaf kepada Vevenoah kerana menerima “maklumat tidak tepat” berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Rahim menerusi catatan Facebook kelmarin, berkata Veveonah tinggal di pekan dan keluarga tidak lagi mempunyai rumah di kampung, di mana gadis itu dakwa beliau terpaksa memanjat pokok untuk menduduki peperiksaannya.

Beliau mendakwa Veveonah sengaja “membuat drama” untuk mendapat perhatian serta publisiti. Catatan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen sehingga mendorong beliau memadamkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.