70 berhibur di kelab malam, 31 terbabit pelacuran ditahan

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 70 individu yang berhibur di kelab malam dan 31 terbabit aktiviti pelacuran ditahan semalam.

PETALING JAYA: Polis menahan 312 individu semalam kerana ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) termasuk 70 yang berhibur di kelab malam dan 31 terbabit aktiviti pelacuran.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 267 individu dikompaun manakala 38 direman dan 7 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (37), tidak memakai pelitup muka (23), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (143), aktiviti dalam pub atau kelab malam (70), warga asing tanpa dokumen perjalanan (7), premis beroperasi melebihi tempoh (1) dan disyaki menjalankan aktiviti pelacuran (31),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata pihak berkuasa menahan 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Benteng semalam.

“Tangkapan melibatkan 86 PATI serta masing-masing seorang penyeludup dan tekong. “Sebanyak 82 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam membabitkan polis (60), AKSEM (10), dan ATM (12).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.