
Ini menjadikan keseluruhan 9,189 daripada 9,868 pesakit Covid-19 sudah sembuh setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 551 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara dengan 5 daripada 9 pesakit yang berada di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Jumlah kematian kekal 128 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.
Beliau berkata, 5 daripada 58 kes baru itu ialah kes import membabitkan 3 warganegara dan 2 warga asing.
Tiga warganegara itu pulang dari Pakistan (1 kes di KL), India (1 kes di KL) dan Indonesia (1 kes di Selangor), manakala seorang warga asing dari Syria (1 kes di Selangor) dan seorang lagi warganegara Filipina (1 kes pendatang asing tanpa izin di Sabah).
Katanya, kes warga Filipina itu ialah kes indeks bagi kluster Laut di Kunak, Sabah.
Hisham berkata, 53 kes penularan tempatan membabitkan 29 warganegara dan 24 lagi warga asing, di mana 48 kes itu berlaku di Sabah yang membabitkan 24 warga asing.
Katanya, 44 kes itu daripada kluster Benteng Lahad Datu (21 warga asing), 3 kes daripada kluster Laut yang semuanya warga asing dan satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Beliau berkata, baki 5 kes jangkitan tempatan daripada kluster Sungai di Kedah.
Kluster Benteng Lahad Datu
Hisham berkata, 44 kes baru Covid-19 dicatatkan hari ini hasil saringan ke atas 4,089 individu dalam kluster itu setakat ini.
Di Tawau, seramai 2,847 orang disaring dan 293 individu dikesan positif Covid-19 membabitkan 43 kes baru hari ini, manakala 724 lagi negatif dan 1,830 orang masih menunggu keputusan.
Di Lahad Datu, seramai 1,242 orang disaring dan 88 individu disahkan positif Covid-19 membabitkan 1 kes baru hari ini, sementara 440 orang negatif dan 714 lagi sedang menunggu keputusan.
Setakat ini, katanya, 361 daripada 833 banduan yang disaring dikesan positif Covid-19 dan 2 daripada 832 kakitangan turut dijangkiti virus itu.
Seramai 1,044 ahli keluarga kakitangan dan banduan turut disaring, di mana 3 orang dikesan positif Covid-19, tiada seorang pun daripada 728 pegawai agensi kerajaan lain yang positif virus itu, manakala 15 daripada 652 kontak sosial dijangkiti koronavirus.
Beliau berkata, daripada 381 kes positif Covid-19 dalam kluster itu, 168 membabitkan warganegara dan 213 warga asing yang terdiri daripada 149 warganegara Filipina serta 64 rakyat Indonesia.
Kluster Sungai
Hisham berkata, seramai 8,258 orang, termasuk 709 petugas kesihatan dalam kluster Sungai di Kedah disaring setakat ini.
Katanya, 55 daripada 8,110 orang yang disaring di Kedah dikesan positif Covid-19, membabitkan 5 kes baru.
Seramai 2,041 individu negatif dan 6,014 lagi menunggu keputusan.
Di Pulau Pinang, 124 daripada 131 orang yang disaring didapati negatif virus itu dan 7 orang masih menunggu keputusan.
Di Perlis, seorang daripada 17 individu yang disaring dikesan positif Covid-19, 11 individu negatif dan 5 orang masih menunggu keputusan.