Ribuan penduduk gesa Netanyahu undur

Ramai penunjuk perasaan memakai pelitup muka tetapi tidak mengamalkan penjarakan fizikal untuk mengekang penularan Covid-19. (Gambar AP)

JERUSALEM: Ribuan penunjuk perasaan di Israel berkumpul di Jerusalem pada Ahad menggesa peletakan jawatan Benjamin Netanyahu sebagai perdana menteri, demonstrasi pertama sejak pembaharuan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Kerajaan Israel mengenakan perintah kawalan pergerakan yang baharu di seluruh negara pada Jumaat lepas memandangkan ia merekodkan jangkitan Covid-19 per kapita paling tinggi dalam dunia.

Perintah itu mengundang kemarahan dalam kalangan Yahudi ultra-Ortodoks kerana ia hari pertama musim cuti golongan terbabit.

Walaupun kerajaan Israel dipuji dengan mengenakan perintah kawalan pergerakan yang ketat pada Mac dalam usaha mengekang penularan pandemik itu, ramai warga Israel menuduh kerajaan tidak mahir mengedalikan krisis.

Walaupun terdapat sekatan, demonstrasi masih diizinkan dan penunjuk perasaan tidak takut untuk menyertai demonstrasi di luar kediaman Netanyahu di Jerusalem, ia berlangsung setiap minggu sepanjang 3 bulan.

Ramai penunjuk perasaan memakai pelitup muka tetapi tidak mengamalkan penjarakan fizikal untuk mengekang penularan Covid-19.

Polis berkata, halangan diletakkan di dataran yang mana demonstrasi diadakan dialih oleh penunjuk perasaan yang “tidak mematuhi peraturan dan sekatan”.

Semasa perintah kawalan pergerakan sepanjang 3 minggu, penduduk dihadkan bergerak dalam radius 1km untuk aktiviti dan perjalanan melebihi had itu hanya dibenarkan untuk membeli barang keperluan, menerima rawatan perubatan atau bekerja dalam bidang yang penting.