Penerbit, pengulas sukan veteran RTM meninggal dunia

Penerbit, pengulas sukan veteran RTM meninggal dunia

Zulkarnain, 82, meninggalkan seorang balu Sabariah Ibrahim, 79, dan 2 anak Zurina dan Azmi Rizal.

Zulkarnain Hassan adalah antara kumpulan pertama yang bertugas di RTM, iaitu sebagai penyampai Radio Malaya sekitar 1959. 
PETALING JAYA:
Penerbit dan pengulas sukan veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zulkarnain Hassan, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), di sini, pagi tadi.

Mengesahkan perkhabaran sedih itu, anak sulung beliau Zurina Zulkarnain, 54, berkata, ayahnya yang berusia 82 tahun, meninggalkan seorang balu Sabariah Ibrahim, 79, dan dua anak iaitu dirinya dan adik lelakinya Azmi Rizal Zulkarnain, 52.

Katanya, beliau menghidap penyakit jantung dan menggunakan tongkat untuk bergerak sejak 3 tahun lalu itu, mengadu sakit dada ketika berada di rumahnya di SS5, Kelana Jaya, di sini pada awal pagi Sabtu lalu.

“Kami ajak beliau ke hospital, namun pada mulanya beliau tak setuju. Kami akhirnya berjaya memujuk beliau dan kami bawa beliau ke PPUM kira-kira pukul 2.30 pagi.

“Beliau kemudian ditempatkan di zon merah dan selepas 2 hari, beliau ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) sehingga beliau meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya.

Berkongsi detik akhir beliau, Zurina berkata, bapanya mengalami pendarahan dan serangan jantung, namun 2 hari lalu, keadaan beliau stabil sebelum demam semalam dan meninggal dunia 11.30 pagi ini.

Zurina berkata, ayahnya itu adalah antara kumpulan pertama yang bertugas di RTM, iaitu sebagai penyampai Radio Malaya pada ketika itu iaitu sekitar 1959.

Katanya, beliau yang memegang jawatan terakhir sebagai ketua Bahagian Sukan Radio RTM bersara sekitar 1993 dan sejak itu tinggal di kediamannya di Kelana Jaya bersama isteri, anak dan cucunya.

Jenazah disolatkan di Masjid Al-Hidayah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.