Kasut tarian Chook tidak pernah menghampakan

Kasut tarian Chook tidak pernah menghampakan

San Lee Shoes, kedainya terletak di Taman Midah, Cheras. Ia merupakan kedai kasut pertama di Malaysia yang membuat kasut untuk penari dan ianya boleh ditempah khas.

Chook Heng Mun sedang menyiapkan sepasang kasut.
KUALA LUMPUR:
Pernah tak anda terfikir, penari-penari yang ada sekarang, di mana mereka mencari kasut mereka? Kalau anda perasan di Malaysia sebenarnya ada satu kedai kasut yang membuat kasut-kasut untuk penari.

San Lee Shoes, kedainya terletak di Taman Midah, Cheras. Ia merupakan kedai kasut pertama di Malaysia yang membuat kasut untuk penari dan ianya boleh ditempah khas. Di sini juga ada menjual kasut biasa untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.

San Lee Shoes terletak di Taman Midah, Cheras.

Kalau anda pergi ke kedainya, di papan tanda hadapan kedai ada tertulis perkataan ‘Flash Dance Shoes’. Memang anda tidak silap, inilah kedai milik Chook Heng Mun, 51.

Menurut Chook, kedai ini diwarisi dari bapanya Chook Wah Sun yang memulakan perniagaan dengan membuat kasut biasa. Kemudian, ada penari yang datang ke kedai dan meminta beliau membuatkan kasut menari untuk mereka. Dari situlah bermula bapa Chook membuat kasut untuk penari.

Pelbagai jenis kasut menari yang boleh ditempah di San Lee Shoes.

“Kerana ingin tahu lebih lanjut mengenai kasut tarian ini, bapa kemudiannya mendaftar ke kelas tarian. Dengan ilmu yang ada, bapa kemudian mencuba pelbagai cara untuk menjadikan kasut biasa kepada kasut tarian.

“Kasut biasa dan kasut tarian adalah tidak sama. Kasut tarian lebih lembut dan direka untuk menyokong kaki penari dengan baik agar tiada kemalangan berlaku ketika mereka menari apatah lagi bila mereka melakukan gerakan pantas. Kerana itulah harga RM160 sangat berbaloi untuk sepasang kasut tarian,” jelas Chook.

Menurutnya lagi, kasut tarian yang sempurna membolehkan kaki penari menjadi lebih lembut dan fleksibal apabila menari. Ada tarian yang tidak boleh dilaksanakan dengan betul selagi tidak memakai kasut yang betul. Menari dengan memakai kasut biasa adalah sangat merbahaya kerana ia boleh mencederakan diri terutama tumit dan buku lali.

Kata Chook lagi, “Menari menjadi begitu popular di Malaysia 30 tahun lalu. Namun, pada waktu itu di Malaysia, tiada pembuat kasut untuk penari. Jalan terbaik hanyalah mendapatkannya dari Amerika Syarikat dan ia memang agak mahal – iaitu dalam lingkungan RM200 hingga RM300 pada waktu itu.” jelas Chook yang kini menjalankan perniagaan ini bersama bantuan isteri, Candice dan kakak sulungnya Catherine Chook Choi Yin.

Kaki pelanggan akan diukur dahulu sebelum memilih bahan, rekaan dan warna kasut pilihan mereka.

Langkah pertama membuat sepasang kasut yang ditempah adalah dengan mengukur kaki pelanggan dengan meletakkannya di atas kertas. Setiap pasang kasut mengambil masa satu hingga dua minggu untuk disiapkan.

Pelanggan akan dipanggil untuk mencuba kasutnya terlebih dahulu sebelum mereka boleh membawanya pulang. Setiap pasang kasut boleh tahan sehingga tujuh tahun.

Di bengkel kecil inilah semua keajaiban berlaku.

Di kedai ini juga terdapat bengkel kecil yang mana semua kerja-kerja pembuatan kasut dilakukan.

Seperti kebanyakan perniagaan lain, perniagaan kedai kasut Chook turut menerima tempias akibat pandemic Covid-19.

“Sebelum PKP, kami menggajikan lebih dari 10 orang pekerja termasuklah dari kalangan ahli keluarga. Tetapi pandemik ini telah memberi kesan ketara kepada semua orang termasuk studio tarian. Oleh kerana SOP, tidak ramai yang dapat menghadiri kelas tarian,” jelasnya.

Menurut Chook, perniagaannya merundum sehingga 70% dan sekarang hanya tinggal enam pekerja termasuklah tiga pekerja yang menjalankan perniagaan ini.

Tetapi Chook tidak patah semangat, dia meneruskan perniagaan dengan membuat kasut untuk pesakit diabetes sederhana, mereka yang mempunyai kaki bertapak rata dan mereka yang mempunyai kaki bersaiz berlainan atau kakinya tidak sama panjang.

Acuan untuk pelbagai saiz kasut.

“Sekarang ini, permintaan untuk kasut tarian amat rendah tetapi permintaan untuk kasut pesakit diabetes dan mereka yang mempunyai masalah kaki adalah tinggi.

“Kami menggunakan ‘bamboo charcoal’ untuk membuat kasut buat pelanggan diabetes dan mereka yang menderita penyakit ekzema kerana bahannya tidak merengsakan kulit atau luka mereka,” akhiri Chook.

Sekiranya anda ingin mendapatkan khidmat Chook, boleh sahaja berkunjung ke kedai San Lee Shoes untuk mendapatkan kasut tempahan anda sendiri.

Dalam hanya dua minggu anda boleh berjalan dengan kasut selesa idaman anda.

San Lee Shoes
11, Jalan Midah 5
Taman Midah
56000 Kuala Lumpur

Masa perniagaan:
Isnin-Sabtu: 9pagi–5petang
Tutup pada hari ahad

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.