Krismas hambar untuk England

Krismas hambar untuk England

UK tingkat sekatan selepas lonjakan kes akibat varian Covid-19.

LONDON: Kerajaan Britain mengumumkan sebahagian besar England akan dikenakan sekatan kawalan ketat untuk menangani varian virus Covid-19 yang amat mudah berjangkit yang kini membelenggu negara itu dan melonjakkan kes direkodkan.

Britain melaporkan hampir 40,000 jangkitan baharu selepas varian mutasi virus korona, yang dipercayai 70% lebih mudah berjangkit berbanding virus asal, menyebabkan peningkatan jumlah kes dan kemasukan hospital.

Jumlah kematian direkodkan iaitu 744 orang juga yang tertinggi sejak April.

“Amat penting untuk kita bertindak,memandangkan peningkatan kadar jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian akibat virus korona,” kata menteri kesihatan Matt Hancock dalam sidang media. “Memang kita tidak boleh menyambut Krismas seperti diinginkan.”

Sabtu lalu, langkah pergaulan sosial ketat diperkenalkan di London, tenggara England dan Wales manakala perancangan meredakan sekatan kawalan pada Krismas di seluruh negara terpaksa dibatalkan atau difikirkan semula.

Hancock berkata, bermula 26 Dis lebih banyak kawasan di selatan England juga akan dikenakan sekatan pregaulan sosial paling tinggi iaitu Tahap 4, bersama 16 juta orang yang sudahpun dikenakan sekatan tahap berkenaan. Selain itu, kawasan lain yang direkodkan dalam kategori tahap lebih rendah juga akan dikenakan sekatan lebih ketat.

Kerajaan di Scotland dan Ireland Utara sudahpun mengumumkan penduduknya akan dikenakan sekatan kawalan paling ketat selepas Krismas.

Hancock berkata, secara purata 1909 kemasukan hospital akibat Covid direkodkan setiap hari dengan 18,943 orang masih dirawat. Jumlah itu yang tertinggi sejak kemuncak direkodkan pada kali pertama wabak menular, April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.