‘Pentadbiran baharu’ AS bermula 20 Jan, kata Trump

‘Pentadbiran baharu’ AS bermula 20 Jan, kata Trump

Trump berkata berkata AS telah melalui pilihan raya yang tegang dan penuh emosi dan sekarang perlu ditenangkan dan dipulihkan.

Presiden Donald Trump berkata ‘pentadbiran baharu’ akan mula ambil alih akhir bulan ini. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden Donald Trump pada Khamis berkata ‘pentadbiran baharu’ akan mula mengambil alih akhir bulan ini, sehari selepas penyokongnya menyerbu bangunan Capitol, yang menempatkan Dewan Perwakilan dan Senat, lapor agensi Anadolu.

“Pentadbiran baharu akan bermula pada 20 Jan. Tumpuan saya kini adalah memastikan peralihan yang lancar, tertib dan teratur,” kata Trump dalam satu video di Twitter, tanpa menyebut nama bakal Presiden Joe Biden.

“Detik ini menuntut pemulihan dan perdamaian. ”

Beliau berkata AS telah melalui pilihan raya yang tegang dan “penuh emosi dan sekarang ia perlu ditenangkan dan dipulihkan”.

Trump turut meminta undang-undang pilihan raya “mengesahkan identiti dan kelayakan semua pengundi untuk memastikan kepercayaan dan keyakinan dalam semua pilihan raya akan datang.”

Dalam ucapannya, yang ditujukan kepada kumpulan perusuh, Trump melahirkan kemarahannya terhadap “serangan keji” di bangunan Capitol dan penyerang yang “mencemarkan pusat demokrasi AS.”

“Kepada mereka terlibat dengan tindakan keganasan dan kemusnahan, anda tidak mewakili negara kami. Kepada mereka yang melanggar undang-undang, anda akan menerima hukumannya,” tambahnya.

Pada Rabu, ratusan penunjuk perasaan pro-Trump menyerbu bangunan Capitol dan melakukan keganasan mengakibatkan empat kematian.

Lebih 50 orang ditangkap dan puluhan kecederaan dilaporkan.

Trump dan sekutu politiknya selama berbulan-bulan mendakwa wujud penipuan dalam pilhan raya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.