Covid-19: Singapura catat kes kematian ke-30

Covid-19: Singapura catat kes kematian ke-30

Kematian terbaharu itu melibatkan lelaki warga Singapura berusia 61 tahun yang bekerja di UAE dan pulang ke republik itu pada 30 Jan.

Setakat tengah hari semalam, Singapura melaporkan lapan kes baharu Covid-19, kesemuanya kes import menjadikan jumlah keseluruhan 60,088 kes. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura melaporkan satu kematian akibat komplikasi jangkitan Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kematian di republik itu 30 kes.

Data penuh yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan kematian terbaharu itu melibatkan seorang lelaki warga Singapura berusia 61 tahun yang meninggal dunia di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Dilabelkan sebagai kes 59858, kementerian itu memberitahu warga emas berkenaan pergi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bekerja dan pulang ke Singapura pada 30 Jan.

Menurut MOH, lelaki itu mengalami batuk sebelum berlepas ke UAE dan sesak nafas pada hari yang sama, dan didapati positif Covid-19 sebaik tiba di Singapura.

Beliau mempunyai sejarah penyakit hipertensi, hiperlipidemia dan gout.

Kematian terakhir dilaporkan pada 28 Nov tahun lepas.

Setakat tengah hari, republik itu melaporkan lapan kes baharu, kesemuanya kes import menjadikan jumlahnya 60,088 kes.

Secara keseluruhan, 59,961 kes sembuh sepenuhnya, manakala 17 kes masih dirawat di hospital dan tiada yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, 80 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat, tetapi diuji positif Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Republik itu juga menamatkan satu kluster Covid-19 semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.