PM Thailand antara penerima terawal vaksin AstraZeneca

PM Thailand antara penerima terawal vaksin AstraZeneca

Thailand memulakan pemberian vaksin Oxford-AstraZeneca pada Selasa selepas ditangguh seketika berikutan kebimbangan mengenai keselamatan vaksin.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan anggota Kabinet Thailand antara penerima awal suntikan vaksin Oxford-AstraZeneca. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Thailand akan memulakan pemberian vaksin Oxford-AstraZeneca pada Selasa selepas ditangguh seketika berikutan kebimbangan mengenai keselamatan vaksin itu, menyaksikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan anggota kabinet antara yang terawal menerima suntikan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata Prayuth akan disuntik oleh pakar Virologi dari Universiti Chulalongkorn Bangkok Prof Dr Yong Poovorawan pada 8.30 pagi (waktu tempatan) di Rumah Kerajaan.

Terdahulu, Anutin berkata banyak negara memulakan semula pemberian vaksin Oxford-AstraZeneca berikutan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku seperti didakwa.

Jumaat lalu, Thailand mengikuti langkah beberapa negara Eropah termasuk Denmark, Norway dan Iceland menangguhkan penggunaan Oxford-AstraZeneca berikutan isu darah beku.

Thailand menerima 200,000 dos vaksin Sinovac Biotech China dan 117,000 dos vaksin Oxford-AstraZeneca pada 24 Feb.

Thailand merancang memulakan kempen vaksinasi dengan 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca dihasilkan firma tempatan Siam Bioscience Co Ltd pada Jun dan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 50% penduduknya menjelang akhir tahun.

Di laman Facebooknya, Anutin berkata kempen vaksin menggunakan Oxford-AstraZeneca bermula minggu ini.

Katanya, 800,000 dos vaksin Sinovac dijadual tiba pada 20 Mac.

Sementara itu, Anutin berkata Kementerian Kesihatan Awam sedang berunding untuk menempah tambahan lima juta lagi dos vaksin Sinovac sebelum pengeluaran vaksin Oxford-AstraZeneca secara tempatan.

Kementerian juga sedang berunding dengan pembuat vaksin lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.