
Ia adalah sekatan pertama ke atas Beijing sejak embargo senjata EU pada 1989 susulan tragedi berdarah di Dataran Tiananmen.
Duta EU meluluskan sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap empat individu serta sebuah entiti China, yang namanya tidak akan didedahkan sehingga mendapat kelulusan rasmi menteri luar EU pada 22 Mac nanti, dalam sebahagian daripada senarai sekatan hak baru dan lebih luas.
Duta EU memberitahu Reuters, pegawai Beijing didakwa melanggar hak asasi manusia terhadap minoriti Islam Uighur, yang amat dibimbangi negara Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.
Kali terakhir EU melaksanakan sekatan ke atas China, rakan perdagangan kedua terbesarnya, pada Jun 1989, melalui embargo senjata terhadap Beijing yang masih berkuat kuasa.
Aktivis dan pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, sekurang-kurangnya sejuta umat Islam ditahan dalam kem di wilayah terpencil Xinjiang.
Aktivis dan sesetengah ahli politik barat mendakwa Beijing melakukan penyeksaan, penggunaan buruh paksa dan pemandulan.
Parlimen Belanda mengikut jejak Kanada dan AS dengan melabelkan layanan China terhadap Uighur sebagai pemusnahan bangsa, yang dinafikan Beijing.
Di Twitter, wakil China ke EU menyiarkan semula komen mengenai sekatan baru pada Selasa yang dibuat duta China kepada blok itu, Zhang Ming, dengan berkata Beijing tidak akan mengubah dasarnya.
“Sekatan bersifat konfrontasi,” tulis wakil China di Twitter.
“Kami mahu dialog, bukannya konfrontasi. Kami meminta pihak EU mempertimbangkan semula.
“Jika ada yang bertegas untuk berkonfrontasi, kami tidak akan berundur kerana kami tiada pilihan kecuali menunaikan tanggungjawab kami kepada rakyat.”
China menafikan sebarang pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang dan berkata, kemnya menyediakan latihan vokasional serta diperlukan untuk memerangi ekstremisme.
Diplomat berkata, senarai lengkap 11 nama yang diluluskan duta EU turut termasuk pegawai dari Rusia, Libya, Sudan Selatan dan Korea Utara.