Pelakon Myanmar ditahan, junta buru 120 selebriti sokong protes

Pelakon Myanmar ditahan, junta buru 120 selebriti sokong protes

Paing Takhon aktif dalam gerakan protes secara peribadi dengan menyertai perhimpunan dan melalui catatan dalam media sosialnya.

Paing Takhon (tengah, memegang plakad) turut terkenal di Thailand dengan muncul dalam persembahan televisyen dan iklan. (Gambar Instagram Paing Takhon)
YANGON:
Seorang pelakon, penyanyi dan model terkenal Myanmar yang menyokong protes antikudeta negara itu ditahan pada Khamis, ketika junta sedang memburu lebih 100 selebriti yang turut menyokong gerakan itu.

Protes diadakan setiap hari sejak tentera merampas kuasa 1 Feb lalu dan pihak berkuasa melancarkan operasi ke atas penentang, dengan ratusan orang terbunuh dan lebih 2,500 lagi ditahan.

Paing Takhon, 24 – terkenal di Myanmar dan Thailand – aktif dalam gerakan protes secara peribadi dengan menyertai perhimpunan dan melalui catatan dalam media sosialnya.

Media tempatan melaporkan beliau ditahan di rumah ibunya di Dagon Utara, Yangon, pada 5 pagi.

AFP cuba menghubungi keluarganya untuk mengesahkan butiran penahanannya.

Menurut catatan terbaharu di media sosialnya – beliau yang mempunyai lebih sejuta pengikut di Facebook dan Instagram – keadaan kesihatannya tidak baik.

“Saya dalam keadaan tidak sihat selama beberapa hari. Saya selalunya berdoa setiap kali menyembah Buddha untuk kesihatan baik dan kedamaian kembali di Myanmar secepat mungkin,” tulisnya pada Rabu.

Februari lalu, beliau memuat naik gambar dirinya berpakaian tracksuit putih dengan megafon dan seekor anjing menyertai satu bantahan.

“Bantu kami untuk menghentikan jenayah terhadap kemanusiaan,” tulisnya di Instagram pada Februari.

Akaun media sosialnya sudah ditutup, tetapi tidak jelas sama ada beliau melakukannya sendiri.

Paing Takhon turut terkenal di Thailand dengan muncul dalam iklan serta persembahan televisyen.

Januari lalu, beliau membotakkan kepalanya dan menjadi sami Buddha buat seketika, dengan memuat naik gambar dirinya memakai jubah berwarna merah tua.

Pihak berkuasa Myanmar menyiarkan senarai kira-kira 120 selebriti yang dikehendaki, termasuk penyanyi Lin Lin dan Chit Thu Wai, pelakon Phway Phway, Eaindra Kyaw Zin serta Pyay Ti Oo dan model May Myat Noe.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.