Keberkesanan vaksin Moderna turun sedikit kepada 90% dalam percubaan di AS

Keberkesanan vaksin Moderna turun sedikit kepada 90% dalam percubaan di AS

Keputusan baharu itu diperoleh hasil ujian klinikal Fasa Ketiga membabitkan lebih 30,000 individu.

Moderna ketika ini sedang berusaha menghasilkan suntikan penggalak membabitkan dua varian khusus. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna, mengumumkan vaksin Covid-19 keluarannya memiliki kadar keberkesanan 90% bagi menangani sebarang bentuk jangkitan wabak itu, lapor AFP.

Keputusan baharu itu diperoleh hasil ujian klinikal fasa ketiga membabitkan lebih 30,000 individu di seluruh AS.

Namun, angka keberkesanan utama vaksin itu dilihat sedikit merosot berbanding kadar 94.1% yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England Disember lalu.

Angka terbaharu itu dinilai berdasarkan 900 kes Covid-19 yang diambil kira dalam kajian setakat 9 April lalu, manakala kadar keberkesanan terdahulu membabitkan 185 kes.

Kenyataan media dikeluarkan syarikat itu tidak menyatakan sebarang perincian mengenai punca kemerosotan kadar keberkesanan vaksin Moderna.

Bagaimanapun, satu kemungkinan puncanya ialah kemunculan varian baharu Covid-19 yang dikhuatiri tidak dapat ditangani melalui pembentukan antibodi dalam kalangan penerima suntikan vaksin berkenaan.

Moderna ketika ini sedang berusaha menghasilkan suntikan penggalak membabitkan dua varian khusus, malah kajian menggunakan tikus makmal menunjukkan wujud peningkatan tindak balas imun.

Hasil kajian saintifik berkenaan dimuat naik dalam talian dan kini menanti penelitian susulan pakar.

“Data pra klinikal baharu berhubung calon vaksin khusus yang dibangunkan, memberi kami keyakinan bahawa kami secara proaktif berupaya membendung penularan Covid-19 membabitkan kemunculan varian baharu,” kata ketua pegawai eksekutif Moderna, Stephane Bancel

Syarikat itu berkata, setakat 12 April lalu, Moderna sudah mengedarkan 132 juta dos vaksinnya ke seluruh dunia, termasuk kira-kira 117 juta dos untuk AS.

Syarikat itu juga dijangka berupaya menepati jadual pengeluaran kedua membabitkan 100 juta dos menjelang akhir Mei depan dan diikuti 100 juta dos lagi, pada akhir Julai.

Ujian klinikal Moderna terhadap individu berusia 12 hingga 17 tahun kini berjalan sepenuhnya dengan 3,000 peserta dalam kalangan warga AS.

Ujian pediatrik bagi kanak-kanak berumur enam bulan hingga 11 tahun pula sedang mendaftarkan 6,750 peserta di AS dan China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.