
Pihak berkuasa menghentikan usaha mencari dan menyelamat mangsa selepas berusaha keras selama seminggu.
Tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat di loji tenaga hidro Batang Toru berlaku Khamis minggu lalu dan menimbus kira-kira 13 orang.
Difahamkan pekerja sedang memeriksa kawasan tersebut kerana bimbang hujan lebat boleh menyebabkan tanah runtuh ketika bencana berlaku.
Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak terkorban dalam tragedi itu. Mayat pekerja China di loji terbabit dikenal pasti pada Rabu.
Seorang lagi pekerja China berjaya menyelamatkan diri.
Ketua agensi mitigasi bencana tempatan, Hotmatua Rambe memberitahu AFP operasi mencari mangsa berakhir selepas 10 mayat ditemui. Tiga lagi mangsa masih hilang.
Projek kuasa hidro Batang Toru – sebahagian daripada projek infrastruktur Belt and Road bernilai trilion dolar – mendapat bantahan kerana dibina di kawasan hutan hujan yang merupakan satu-satunya habitat orangutan Tapanuli yang terancam.
Tanah runtuh dan banjir kilat adalah perkara biasa di seluruh negara itu semasa musim hujan.
Bulan lalu, lebih 200 orang terbunuh di gugusan pulau-pulau di timur laut dan negara jiran Timor Leste apabila dibadai Taufan Tropika Seroja.
Agensi bencana Indonesia menganggarkan 125 juta orang – hampir separuh daripada populasi di negara itu tinggal di kawasan yang berisiko mengalami tanah runtuh.
Menurut pakar alam sekitar, bencana sering disebabkan oleh penebangan hutan dan perancangan mitigasi yang lemah.