Covid-19: Thailand rekod 36 kematian, 2,817 kes baharu

Covid-19: Thailand rekod 36 kematian, 2,817 kes baharu

Sebanyak 56 kes diimport dilaporkan termasuk seorang rakyat Malaysia.

Tahun ini, Thailand menyasarkan untuk menyuntik sekurang-kurangnya 50 juta daripada kira-kira 70 juta penduduknya. (Gambar AP)
BANGKOK:
Thailand mencatat 2,817 kes baharu Covid-19 serta 36 kematian, setakat Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 174,796 dan korban seramai 1,213.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata daripada 2,817 kes baharu itu 1,151 melalui pengesanan kes aktif dan 315 membabitkan banduan.

Katanya, sebanyak 56 kes diimport dilaporkan termasuk seorang rakyat Malaysia.

“Bangkok mencatat jangkitan tertinggi iaitu 925 kes. Sehingga kini, sebanyak 58 kluster aktif dikesan di Bangkok termasuk di kem pekerja kilang, pekerja binaan dan pasar,” katanya pada taklimat harian Covid-19, semalam.

Taweesin berkata untuk kes kematian pula, membabitkan 21 lelaki dan 15 wanita berusia antara 24 dan 92 tahun termasuk 16 di Bangkok, Samut Prakan (empat), Nonthaburi (tiga) dan masing-masing dua di Chon Buri, Nakhon Sawan dan Samut Sakhon.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Berita, Jabatan Penerangan Kementerian Luar, Pensom Lertsithichai berkata Thailand akan memuktamadkan mengenai pembelian 25 juta dos Pfizer dan Johnson & Johnson tidak lama lagi.

“Kementerian Kesihatan Awam yakin sasaran untuk menyuntik 100 juta dos vaksin menjelang akhir tahun ini akan tercapai,” katanya.

Sehingga kini, 61 juta dos AstraZeneca dan tujuh juta Sinovac sudah diperoleh.

Tahun ini, Thailand menyasarkan untuk menyuntik sekurang-kurangnya 50 juta daripada kira-kira 70 juta penduduknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.