
Sebanyak 728 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, iaitu jumlah kematian harian tertinggi direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini meningkat kepada 61,868 orang.
Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 31,189 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kini sebanyak 2,345,018.
Bermula 3 Julai lepas hingga 20 Julai, pemerintah Indonesia mengetatkan lagi protokol kesihatan Covid-19 dengan menguatkuasakan Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali.
Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat membeli belah, penerapan 100% bekerja dari rumah bagi sektor bukan perlu, penutupan rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung dan penutupan tempat atau pusat pelancongan serta rekreasi.
Pemerintah Indonesia juga menetapkan peraturan merentas provinsi atau negeri kini diwajibkan perlu menjalani vaksin Covid-19 serta menjalani ujian swab (PCR) atau ujian antigen.
Bermula hari ini (6 Julai) juga, menurut kenyataan Kementerian Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi, semua warga asing yang masuk ke Indonesia wajib memiliki sijil vaksin, selain menjalani ujian swab.
Warga negara asing yang tiba di Indonesia diwajibkan menjalani kuarantin selama lapan hari dengan dua kali ujian swab, iaitu ketika tiba dan satu lagi swab pada hari ketujuh kuarantin.