Dakwa ‘diganggu’ Taliban, penerbangan Pakistan gantung operasi ke Afghanistan

Dakwa ‘diganggu’ Taliban, penerbangan Pakistan gantung operasi ke Afghanistan

Ini termasuk perubahan peraturan sewenang-wenangnya dan ugutan terhadap kakitangannya, kata syarikat Pakistan International Airlines (PIA).

Syarikat penerbangan itu berkata kakitangannya di Kabul menghadapi “sikap mengancam” komander Taliban. (Gambar AP)
ISLAMABAD:
Pakistan International Airlines (PIA) menggantung penerbangan ke ibu negara Afghanistan hari ini akibat “gangguan teruk” pihak berkuasa Taliban.

Ini termasuk perubahan peraturan sewenang-wenangnya dan ugutan terhadap kakitangannya, kata syarikat itu.

Keputusan itu dibuat susulan kerajaan Taliban mengarahkan syarikat penerbangan berkenaan – satu-satunya syarikat antarabangsa yang beroperasi di Kabul – untuk memotong harga tiketnya ke tahap sama seperti sebelum penggulingan kerajaan pro-Barat terdahulu pada Ogos.

“Kami menggantung operasi penerbangan ke Kabul mulai hari ini kerana sikap menindas pihak berkuasa,” kata jurucakap.

Terdahulu, Taliban memberi amaran PIA dan syarikat penerbangan Afghanistan, Kam Air, bahawa operasi mereka berisiko disekat melainkan bersetuju mengurangkan harga tiket yang kini amat tinggi, menjangkaui kemampuan kebanyakan rakyat negara itu.

Memandangkan kebanyakan penerbangan antarabangsa tidak lagi memasuki Afghanistan, tiket untuk penerbangan ke Islamabad dijual semahal USD2,500 (RM10,385) oleh PIA, menurut ejen pelancongan di Kabul, berbanding USD120-150 (RM498-RM623) sebelum ini.

Penerbangan antara Afghanistan dan Pakistan amat terhad sejak Lapangan Terbang Kabul dibuka semula bulan lalu, selepas lebih 100,000 rakyat negara Barat serta tempatan dipindahkan susulan kemenangan Taliban.

PIA berkata sejak kerajaan Taliban yang baharu dibentuk, kakitangannya di Kabul menghadapi pertukaran peraturan saat akhir selain “sikap mengancam” komander Taliban.

Katanya, wakilnya di negara itu ditahan dengan diacukan pistol selama beberapa jam dan hanya dibebaskan selepas campur tangan Kedutaan Pakistan di Kabul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.