Australia rancang buka perjalanan bebas kuarantin dengan Jepun, Korea Selatan, kata Morrison

Australia rancang buka perjalanan bebas kuarantin dengan Jepun, Korea Selatan, kata Morrison

Perdana Menteri Australia itu memberitahu Dewan Perniagaan dan Industri Victoria mengenai perjalanan bebas kuarantin antara Australia dan kedua-dua negara Asia itu akan disambung semula selepas lebih 18 bulan dihentikan.

Scott Morrison berkata pelajar antarabangsa dan pekerja mahir akan dibenarkan kembali ke Australia tanpa perlu kuarantin, kemungkinan sebelum akhir tahun. (Gambar AP)
CANBERRA:
Perdana Menteri Australia Scott Morrison merancang mengatur gelembung perjalanan dengan Jepun dan Korea Selatan memandangkan negara itu kini secara beransur-ansur membuka kembali pintunya kepada dunia, lapor Xinhua.

Morison baru-baru ini memberitahu Dewan Perniagaan dan Industri Victoria mengenai perjalanan bebas kuarantin antara Australia dan kedua-dua negara Asia itu akan disambung semula selepas lebih 18 bulan dihentikan.

Setakat Isnin, warga Australia yang lengkap divaksin boleh ke Singapura tanpa dikuarantin dengan syarat mereka negatif ujian Covid-19 dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas dan semasa ketibaan.

Mulai 21 Nov, pelaksanaan yang sama juga akan dilakukan di Australia dengan pengembara dari Singapura boleh terbang ke Canberra, Melbourne dan Sydney tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Singapura akan dibuka pada 21 Nov. Saya fikir kita juga akan beralih ke Korea Selatan dan Jepun dan sebelum akhir tahun ini saya berharap lebih banyak yang akan dibuka,” kata Morrison pada Rabu.

Morrison juga berkata pelajar antarabangsa dan pekerja mahir akan dibenarkan kembali ke Australia tanpa perlu kuarantin, kemungkinan sebelum akhir tahun.

Pada pagi Khamis, Australia melaporkan lebih 1,500 kes baharu Covid-19 melibatkan jangkitan tempatan dan lima kematian, ketika negara itu terus memerangi gelombang ketiga jangkitan.

Menurut Jabatan Kesihatan, sehingga Rabu, 89.7 peratus warga Australia berumur 16 tahun ke atas menerima satu dos vaksin COVID-19 dan 81.5 peratus lagi lengkap vaksinasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.