
Negara itu kini mula meredakan had bilangan orang yang dibenarkan dalam perhimpunan sosial termasuk untuk makan di restoran.
Ong turut berkata, “laluan perjalanan” akan dibuka dengan lebih banyak negara melibatkan pengunjung yang telah divaksin.
Singapura semakin membenarkan kelonggaran untuk individu yang divaksin berhimpun dalam kumpulan kecil, selain memulakan semula acara perniagaan secara fizikal, dan perjalanan bebas kuarantin bagi beberapa negara dalam pada ia turut meningkatkan program vaksin penggalak.
“Saya fikir penting untuk melakukannya seperti ini, kerana mengurangkan kemungkinan terpaksa terlalu kerap menukar peraturan,” katanya kepada Reuters.
“Memanglah ada kalanya itu tidak dapat dielakkan, namun ia sewajarnya hanya menjadi pilihan terakhir kerana sudah pasti menyusahkan untuk orang ramai.”
Singapura berulang kali berbolak-balik antara mengetatkan dan meredakan peraturan berkaitan Covid-19 sejak beberapa bulan lalu, terutama selepas gelombang baharu dicetuskan varian Delta.
Republik itu antara negara “sifar-Covid” yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) antara yang paling tegas di dunia. Jumlah jangkitan dan kematiannya juga rendah, iaitu masing-masing 252,200 serta 662.
Tahun ini kerajaannya beralih kepada strategi hidup dengan virus itu secara endemik. Kira-kira 94% golongan yang layak telah divaksin, manakala 23% penduduknya juga telah menerima dos penggalak.
Antara langkah terbaru diperkenalkan adalah menaikkan bilangan individu yang dibenarkan duduk semeja di restoran kepada lima orang.
Pihak berkuasa turut mengetatkan langkah terhadap golongan yang tidak divaksin, dengan melarang mereka duduk makan di restoran atau memasuki pusat beli-belah. Malah, mereka yang sengaja enggan divaksin juga bakal dikenakan caj untuk rawatan Covid-19.